
Mangsa, Tianun Padis, 86, ditemui oleh sepasang suami isteri ketika dia berjalan kaki keluar di Kampung Ginapas, iaitu kira-kira 1.24 kilometer dari lokasi warga emas itu dilaporkan hilang.
Jurucakap Bomba Sabah yang dihubungi memaklumkan, mangsa ditemui dalam keadaan kepenatan selain mengalami luka ringan.
“Mangsa ditemui pasangan suami isteri yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Kota Belud dan mereka juga mengenali mangsa sebelum menghantarnya pulang ke rumah.
“Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kota Belud dengan menaiki ambulans untuk diberi rawatan lanjut manakala operasi mencari dan menyelamat dihentikan kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya.
Sebelum ini, Tianun yang juga seorang ibu tunggal dilaporkan hilang kira-kira jam 7 pagi pada 11 September lalu selepas keluar untuk memberi makan ayam dan kucing di rumah lamanya.
Difahamkan, mangsa kebiasaannya akan keluar ke tempat itu pada waktu yang sama setiap hari dan sepatutnya pulang sekitar jam 9 pagi namun dia tidak kelihatan menyebabkan penduduk berusaha mencarinya di kawasan sekitar.
Keluarganya terus membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa dan usaha mencari turut dilakukan bersama anggota bomba dan penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Rela.