
Peguam T Gunaseelan berkata, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Neri Kalagam Tamil Malaysia dan Gabungan Persatuan Pelajar Tamil Malaysia, memfailkan permohonan mengikut Aturan 14A Perintah Mahkamah Tinggi.
Wakil Pejabat Peguam Negara, yang muncul mewakili Kementerian Pendidikan, turut memfailkan permohonan sama.
Mengikut Aturan 14A, mahkamah boleh menentukan pertikaian menurut undang-undang tanpa perlu memanggil saksi.
Gunaseelan, yang dibantu Keshwinjit Singh, memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mengenai perkara berkenaan ketika pengurusan kes secara maya membabitkan semua pihak berkepentingan.
Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy, dilihat mewakili pihak kementerian terbabit.
Plaintif dalam kes berkenaan yang membabitkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dijangka memberi maklum balas terhadap permohonan pelupusan saman itu.
Nazlan menetapkan pengurusan kes pada 14 Oktober ini.
GPMS dan MAPPIM menamakan Putrajaya dan Kementerian Pendidikan sebagai defendan, manakala 11 lagi dimasukkan sebagai pihak berkepentingan.
Kedua-dua pertubuhan itu memfailkan saman memohon diisytiharkan bahawa Seksyen 2, 17, dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru ia dianggap batal dan tidak sah.