
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi kepada rakyat termasuk masalah mental.
“Kerajaan kini melihat keutamaan untuk membuka sektor ekonomi secara berperingkat khususnya membabitkan mereka yang lengkap dua dos vaksin,” katanya menjawab pertanyaan Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Salim meminta perdana menteri menyatakan kewajaran pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika kes harian Covid-19 masih mencatatkan angka membimbangkan.
Ismail tidak menolak kemungkinan mereka yang lengkap divaksin boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain, justeru beliau mengingatkan rakyat supaya menjaga disiplin kawalan kendiri serta perlu bersedia hidup bersama Covid-19.
“Rakyat mesti berdisiplin untuk buat kawalan kendiri, jaga disiplin. Hari pertama apabila ada tempat percutian dibuka, ada yang masih tidak pakai pelitup muka pun.
“Masa depan negara kita untuk bebas daripada Covid-19 bergantung pada kita sendiri. Kita tidak boleh harapkan orang lain, kawalan kendiri sangat penting. Kalau tidak usaha kita selama ini akan jadi sia-sia saja,” katanya.
Ismail berkata, data terkini pemberian vaksin menunjukkan 74.7% rakyat dewasa di negara ini sudah menerima dua dos manakala satu dos seramai 91.6%.
“Kerajaan telah pertimbang pembukaan sektor tertentu sebagai salah satu cara memulihkan ekonomi negara, kita sedia maklum tentang kesusahan rakyat akibat penutupan sektor ekonomi. Keputusan untuk buka 11 sektor ekonomi di negeri Fasa 1 sebelum ini dibuat dengan mengambil kira jumlah pemberian vaksin waktu itu,” katanya.
Beliau memaklumkan, 11 sektor yang dibenar dibuka di negeri Fasa 1 tidak menyumbang kepada kluster Covid-19 yang besar.
“Sebagai contoh ramai kata gunting rambut bahaya sebab kontak rapat tetapi sepanjang 2020 hanya satu kluster gunting rambut, begitu juga kedai cuci kereta sepanjang 2020 tak ada satu kedai cuci kereta wujud kluster,” katanya.
Tingkat pendapatan rakyat
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat terutama isi rumah miskin dalam kalangan B40 bagi membantu ekonomi mereka untuk jangka masa sederhana dan panjang.
Katanya, langkah itu akan dilaksanakan melalui program peningkatan pendapatan dan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan, menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan serta meningkatkan perlindungan sosial.
Menurutnya, pelbagai bantuan disediakan kerajaan di bawah lapan pakej rangsangan sepanjang pandemik melanda negara yang kebanyakannya bersifat jangka pendek bagi mengurangkan tekanan terhadap individu serta isi rumah yang terkesan.
Perdana menteri menjawab soalan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan mengenai pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3%.