‘Itu advokasi pengguna, bukan kempen berat sebelah,’ kata KPDNHEP

‘Itu advokasi pengguna, bukan kempen berat sebelah,’ kata KPDNHEP

KPDNHEP berkata, hantaran di Facebook semalam berhubung perbandingan harga ayam bukan bertujuan 'mematikan' perniagaan pasar awam.

Hantaran KPDNHEP di Facebook semalam berhubung perbandingan harga ayam di pasar awam dan pasar raya bertujuan mendidik pengguna sentiasa membandingkan harga sebelum membeli.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, hantaran di Facebooknya semalam mengenai perbandingan harga ayam di pasar awam dan pasar raya adalah advokasi kepenggunaan yang bukan berniat “mematikan” perniagaan di pasar awam.

Hantaran itu yang memaparkan dialog dua pengguna membandingkan harga ayam, dengan harga di pasar awam digambarkan lebih mahal berbanding pasar raya dikritik warganet berunsur berat sebelah.

Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim berkata, kementerian itu bertanggungjawab memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi.

Katanya, KPDNHEP sentiasa menggunakan pendekatan seimbang dalam melindungi pengguna dan peniaga, namun pengguna harus tahu mereka mempunyai pilihan dan hak untuk apa, bila dan di mana membuat pembelian terbaik bagi wang mereka.

“Poster itu bukan kempen, sebaliknya advokasi kepenggunaan tanpa niat jahat. Justeru, kami advokasi supaya pengguna sentiasa membandingkan harga sebelum beli.

“Sekarang ini merupakan masa sesuai untuk pengguna mempraktikkan hak mereka, sementara KPDNHEP serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mencari solusi seimbang untuk pengguna dan peniaga di semua peringkat rantaian, bukan bermaksud kita nak mematikan pasar basah, tetapi ia telah disalahertikan” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, KPDNHEP memadam satu catatan di Facebooknya mengenai perbandingan harga ayam di pasar awam dan pasar raya selepas mendapat pelbagai kecaman dan dipertikaikan warganet.

Yunus berkata, pasar raya selalunya membeli dalam kuantiti besar, jadi harga yang mereka perolehi daripada pembekal mungkin lebih murah berbanding peniaga di pasar awam yang mengambil bekalan dalam jumlah sedikit.

Oleh itu, katanya, pasar raya boleh menjual pada harga lebih murah sehingga RM4 daripada pasar basah, bergantung kepada model perniagaan mereka.

“Jadi, dalam keadaan macam ini, kita terangkan kepada pengguna bahawa mereka sebenarnya ada pilihan, kalau pasar awam mahal, mereka boleh beli di pasar raya.

“Kawalan harga adalah langkah terakhir. Kementerian memberi ruang kepada peniaga, daripada peladang, pemborong hingga peruncit untuk melaksanakan amalan perniagaan rasional dengan margin keuntungan munasabah di semua peringkat rantaian yang akhirnya menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.

“Kawalan harga pada jangka panjang akan melumpuhkan industri dan akhirnya merugikan semua pihak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.