Pencuci kereta dijel 12 tahun bakar tisu dalam pasar raya

Pencuci kereta dijel 12 tahun bakar tisu dalam pasar raya

Menurut fakta kes, Rizam Zawawi melakukan perkara itu bagi alih perhatian pekerja untuk mencuri barangan lain.

kuching
Mahkamah Sesyen Kuching mengarahkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Rizam Zawawi bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 25 Ogos lepas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuching di Sarawak selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan khianat membakar bungkusan tisu di dua pasar raya, bulan lepas.

Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara lima dan tujuh tahun terhadap Rizam Zawawi, 33, yang mengaku bersalah atas dua tuduhan tersebut.

Mahkamah mengarahkan hukuman terhadap Rizam yang bekerja sebagai pencuci kereta itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 25 Ogos lepas, lapor Bernama.

Mengikut tuduhan, Rizam didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan membakar tisu sehingga menyebabkan kerugian RM3,000 di sebuah pasar raya di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa di Kuching pada 3 petang, 17 Ogos lepas.

Lelaki itu juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah pasar raya di Batu Kawa di Kuching pada 8 malam, 21 Ogos lepas, menyebabkan kerugian RM1,072.60.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, tertuduh dipercayai membakar tisu dan lampin pakai buang di premis berkenaan bagi mengalih perhatian pekerja dalam cubaan untuk mencuri barangan lain.

Di sebuah premis, dia berjaya melarikan sekotak minuman berkarbonat dan perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.