Rakyat Sarawak dibenar rentas daerah tanpa perlu ujian Covid-19 mulai esok

Rakyat Sarawak dibenar rentas daerah tanpa perlu ujian Covid-19 mulai esok

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan pergerakan rentas daerah itu bagaimanapun masih perlu memperoleh permit polis.

Penduduk di Sarawak dibenarkan merentas daerah mulai esok. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Berkuat kuasa esok, rakyat Sarawak dibenarkan merentas daerah tanpa perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Antigen bagi pengesanan Covid-19 kecuali untuk bahagian Bintulu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pergerakan rentas daerah itu bagaimanapun masih perlu memperoleh permit daripada pihak polis.

Hari ini, Sarawak merekodkan 3,522 jangkitan baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 160,320 kes manakala lima kematian direkodkan menjadikan angka korban akibat wabak itu kini mencecah 630 orang.

Kenyataan JPBN menyebut berdasarkan laporan jujukan genom penuh ke atas sampel positif di semua 12 bahagian di Sarawak, hampir 100% adalah varian Delta.

“Ini bermakna varian Delta telah merebak ke seluruh Sarawak dan perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak Profesor Dr David Perera,” menurut kenyataan itu.

JPBN turut mengisytiharkan enam kluster baharu iaitu Kluster Sungai Kerubong di Sarikei, Kluster Sungai Sujan Mapok di Sebauh), Kluster Sungai Dabai di Pakan, Kluster Andi Liam di Beluru, Kluster Pulau Brunei di Limbang dan Kluster Tinwar Keleku di Subis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.