
Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kumpulan itu sentiasa mencadangkan autonomi dan pemindahan kuasa, bukannya pendekatan “satu untuk semua”.
Bercakap kepada FMT beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) boleh diberi kuasa untuk memutuskan bila sekolah boleh dibuka semula kerana persekitaran yang hampir sama di seluruh daerah, malah lebih baik lagi untuk membenarkan masing-masing sekolah memutuskan bila ia perlu dibuka.
Beliau mencadangkan agar sekolah tanpa pelajar Tingkatan 6 membenarkan murid Tingkatan 4 dan 5 kembali ke sekolah, sementara sekolah yang kakitangan dan gurunya telah diberi vaksin sepenuhnya harus dibuka segera.

“Melihat kepada fakta bahawa kita (Malaysia) memiliki tempoh penutupan sekolah paling lama di dunia dan seterusnya kehilangan pembelajaran, kita seharusnya berusaha untuk membuka kembali sekolah secepat mungkin.
“Sekolah yang yakin untuk dibuka semula harus dibenarkan melakukannya tanpa perlu menunggu giliran. Sekolah lebih mengetahui keadaan setempat, pelajar dan ibu bapa mereka dengan lebih baik.
“Kementerian Pendidikan membuat anggapan ‘berbahaya’ bahawa pembelajaran dalam talian berjaya dan setiap pelajar meraih pencapaian,” katanya.
Noor Azimah juga berkata, ibu bapa tidak boleh memandang rendah “naluri keibubapaan” sekiranya mereka berasa tidak selamat untuk membiarkan anak-anak mereka kembali ke sekolah.
Beliau bagaimanapun menyambut baik keputusan kementerian untuk tidak menghukum anak-anak yang tidak hadir ketika sekolah dibuka semula.
“Beri ibu bapa pilihan tetapi jangan menghukum jika mereka tidak mahu. Sesetengah pembelajaran masih boleh dilakukan di rumah sekiranya ibu bapa tekun melaksanakannya,” katanya.
Fikir semula, pegawai Sarawak digesa

Presiden Kesatuan Guru Sarawak Adam Prakash Abdullah berkata, Kementerian Pendidikan dan pegawai pengurusan bencana Sarawak harus menilai semula situasi di negeri berkenaan.
Semalam, rekod tertinggi 5,291 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sarawak dan beliau berkata, kesatuan lebih memberi keutamaan untuk menutup sekolah di Sarawak bagi keselamatan murid serta pelajar.
“Kita bukan menentang langkah membuka kembali sekolah, tetapi tidak mahu terbabit memaksa pelajar dan guru kembali ke sekolah pada masa situasi masih belum selamat,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, sekolah akan kekal ditutup di negeri yang berada pada Fasa 1 dan kebanyakan di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sekolah di Fasa 3 dan 4 PPN akan dibuka secara berperingkat, dengan kelas diasingkan kepada separuh dengan setiap kumpulan yang hadir ke sekolah melalui penggiliran bagi membolehkan kapasiti di bilik darjah kekal 50%.
NUTP beritahu guru berada dalam keadaan tertekan

Beberapa pengecualian telah dibuat untuk sekolah di negeri Fasa 2. Pelajar yang menghadapi peperiksaan dan juga murid sekolah berkeperluan khas akan dapat mengikuti kelas persediaan tanpa giliran di semua negeri.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata, mereka mengemukakan empat cadangan kepada menteri pada pertemuan baru-baru ini, termasuk perlunya kira-kira 2,500 guru diberi vaksin.
Beliau berkata, mereka juga menyuarakan perlunya panduan untuk guru dan pelajar yang tidak ingin diberi vaksin ketika sekolah dibuka semula, dan sekolah dibenarkan mengurus penutupan sendiri pada akhir penggal persekolahan pada bulan Januari atau Februari.
Katanya, isu lain yang dibangkitkan adalah tekanan yang dihadapi oleh guru semasa menjalankan pelajaran dalam talian.