Anak lahir di luar negara ‘ikut’ kerakyatan ibu: Kerajaan fail notis rayuan

Anak lahir di luar negara ‘ikut’ kerakyatan ibu: Kerajaan fail notis rayuan

Peguam Negara Idrus Harun berkata, notis rayuan difailkan pagi ini.

Peguam Negara Idrus Harun memfailkan rayuan mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir.
PETALING JAYA:
Kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu bahawa wanita rakyat Malaysia boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.

Peguam Negara Idrus Harun dalam pesanan ringkas kepada FMT berkata, notis rayuan ke Mahkamah Rayuan itu difailkan pagi ini.

Memorandum rayuan bagi menggariskan hujah berhubung kesilapan fakta atau undang-undang hakim itu akan difailkan sebaik penghakiman bertulis diperoleh.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir pada 9 September lalu memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Dalam membenarkan beberapa relif dituntut sebuah NGO bersama enam ibu, bahawa peruntukan tertentu melibatkan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan bersifat mendiskriminasi, Akhtar berkata, ibu juga boleh memberikan kewarganegaraan sama seperti golongan bapa.

Peguam Gurdial Singh Nijar yang mengetuai barisan peguam plaintif berkata, keputusan itu dicapai selepas mahkamah membacakan beberapa perkara dalam Perlembagaan secara harmoni.

Gurdial yang dibantu Abraham Au, Joshua Andran dan Gan Pei Fern, sebelum ini berhujah diskriminasi jantina tidak boleh berlaku kerana Parlimen telah meminda Perkara 8 Perlembagaan.

Perkara itu menyatakan semua orang adalah sama disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama.

Pemohon tahun lalu memfailkan tuntutan itu untuk meminta mahkamah mengisytiharkan beberapa peruntukan, iaitu Perkara 14 (1) (b) dan Seksyen 1 (b) dan 1 (c) di bawah Jadual Kedua Perlembagaan tidak sah kerana mendiskriminasi wanita.

Mereka mendakwa bahawa Perlembagaan hanya membenarkan seorang bapa menyerahkan kewarganegaraannya kepada anak yang dilahirkan di luar persekutuan, tetapi seorang ibu tidak boleh berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.