Doktor kantoi rakam pembantu wanita dalam tandas ditahan

Doktor kantoi rakam pembantu wanita dalam tandas ditahan

Polis berkata perbuatan itu disedari mangsa yang berusia 30 tahun selepas ternampak satu telefon bimbit berada dalam kedudukan tinggi.

Polis berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, suspek berusia 46 tahun ditahan di satu lokasi di Petaling Jaya kira-kira 7.30 malam tadi. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang doktor lelaki ditahan selepas disyaki merakam pembantu wanita yang ketika itu berada di dalam tandas di sebuah klinik swasta di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan itu disedari mangsa yang berusia 30 tahun selepas ternampak sebuah telefon bimbit berada di kedudukan yang tinggi.

Katanya, mangsa mendakwa telefon bimbit itu berada dalam keadaan aplikasi kamera terpasang ketika dia masuk ke tandas dan dia kemudiannya mengambil peranti tersebut sebelum terus keluar dari klinik berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa yang mahu keluar dari klinik secara tergesa-gesa disedari oleh suspek dan lelaki itu bertindak menghalangnya.

“Suspek kemudian meminta mangsa memulangkan semula telefon itu dan berjanji akan menghapuskan rakaman berkenaan di hadapannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Fakhrudin berkata, mangsa bersetuju menyerahkan telefon bimbit itu kembali kepada suspek sebelum doktor lelaki tersebut menunjukkan dia memadamkan rakaman di hadapan mangsa.

Tambah beliau, bagaimanapun mangsa tidak nampak kandungan rakaman yang dipadam suspek lalu membuat laporan polis pada 2.30 petang, semalam.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa, suspek yang berusia 46 tahun ditahan di satu lokasi di sini kira-kira 7.30 malam tadi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.