Keadaan ‘menyedihkan’ di PKRC Kinabatangan; PKOB hantar katil, sinki baru perbaiki keadaan

Keadaan ‘menyedihkan’ di PKRC Kinabatangan; PKOB hantar katil, sinki baru perbaiki keadaan

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata keadaan 'menyedihkan' di Dewan Sukan dan Rekreasi Kinabatangan itu berlaku pada Ogos selepas peningkatan mendadak kes Covid-19 di daerah berkenaan.

Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata, keadaan tidak selesa itu berlaku di PKRC berkenaan berlaku pada Ogos di mana terdapat peningkatan mendadak kes Covid-19.
KOTA KINABALU:
Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah telah menambah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kinabatangan mengikut keperluan semasa.

Katanya, keadaan ‘menyedihkan’ di Dewan Sukan dan Rekreasi Kinabatangan itu berlaku pada Ogos selepas peningkatan mendadak kes Covid-19 di daerah berkenaan.

”Jabatan ini ingin memberi maklum balas kepada isu ‘sangat menyedihkan’, bekas pesakit ulas keadaan PKRC Kinabatangan’ yang dibangkitkan dalam laman FMT pada 8 Sept.

”Keadaan di PKRC berkenaan berlaku pada Ogos di mana terdapat peningkatan mendadak kes Covid-19.

”Sebahagian katil terpaksa ditempatkan di bahagian luar dewan dan menampung keperluan pesakit yang ramai pada waktu itu dan demi memenuhi keperluan mendesak, pihak PKOB telah menambah katil di PKRC mengikut keperluan semasa.

”Selepas penambahbaikan yang dilakukan, semua pesakit di PKRC Kinabatangan telah mendapat katil masing-masing,” katanya.

Rose Nani berkata, sejak penguatkuasaan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dari pihak kesihatan dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Kinabatangan, pesakit pada tahap satu dan dua yang stabil dikuarantin di rumah.

”Jabatan ini dan PKOB dalam usaha untuk mendapatkan dewan yang lain bagi menambah kapasiti untuk menampung jika (masalah) berlaku lagi,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan seorang bekas pesakit Covid-19 merayu kepada pihak bertanggungjawab supaya menyediakan kemudahan yang lebih “mesra” di PKRC)Kinabatangan yang disifatkan “sangat menyedihkan”.

Munira Ladis, 35, berkata, bahagian wanita di PKRC terbabit langsung tidak mempunyai katil dan para pesakit hanya diberikan tilam di atas lantai.

Katanya, keadaan itu dilihat menyukarkan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada penghuni di PKRC berkenaan terutama bagi mereka yang memerlukan kemudahan lebih baik.

Bekas penghuni PKRC itu turut mendakwa, selain bahagian wanita, bahagian lelaki yang terletak di luar bangunan juga didakwa sangat menyedihkan dengan pesakit di situ disediakan tilam yang beralaskan kotak plastik yang tidak rata selain berdindingkan kanvas dan beratapkan zink.

Katanya, selain tiada tempat solat, hanya terdapat dua sahaja tandas yang boleh digunakan untuk mandi, manakala tiada sinki air disediakan di luar untuk mencuci tangan dan sebagainya.

“Para penghuni hanya mencuci pinggan mangkuk di dalam tandas yang juga digunakan sebagai tempat mandi,” katanya.

Dalam pada itu, Rose Nani berkata, pada Ogos lalu, PKOB telah menambah dua tandas alih untuk kegunaan pesakit di PKRC berkenaan selain tiga tandas sedia ada.

Katanya, PKOB juga telah membina tiga tandas baharu dan dua bilik mandi bermula awal Ogos lalu dan dijangka siap dua minggu lagi.

”Pembinaan terganggu pada masa itu disebabkan pekerjanya telah didapati positif Covid-19 apabila saringan dilakukan semasa pembinaan tandas di PKRC.

”Selain itu, dua sinki baru telah ditambah hari ini oleh PKOB Kinabatangan, pihak hospital telah membuat penyeliaan dan akan terus membaikpulih keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.