
Bagaimanapun, Pengarah JKNS, Dr Asits Sanna berkata sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan itu masih dalam siasatan.
Beliau berkata, 103 murid berusia enam hingga 12 tahun di sekolah itu mengalami gejala muntah, cirit-birit dan sakit perut, dengan lapan kes dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar.
“Tindakan kawalan telah dilaksanakan, termasuk memberi rawatan bersesuaian, menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendidikan kesihatan kepada individu terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Asits berkata, pihaknya turut mengambil sampel makanan, minuman dan persekitaran bagi pengesahan punca.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan menggunakan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan, kawasan dapur bebas serangga, makhluk perosak dan haiwan lain serta memasak makanan dengan sempurna.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin mengesahkan berlaku kes keracunan makanan di sekolah itu sekitar 12 tengah hari Isnin lalu apabila guru memaklumkan terdapat murid mengalami muntah-muntah dan simptom lain.