Banjir makin buruk, Nadma aktifkan pusat kawalan selaras operasi

Banjir makin buruk, Nadma aktifkan pusat kawalan selaras operasi

Nadma berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) akan menyelaraskan pergerakan aset, logistik dan mengatur gerak pasukan penyelamat.

Lebih 80,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara ketika ini susulan banjir semakin memburuk. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir yang melanda lebih tujuh negeri kini.

Agensi itu dalam kenyataan berkata penyelarasan termasuklah aset-aset dan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta keperluan merentas negeri masing-masing.

Menurutnya, penyelarasan itu termasuk aset dan keperluan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta keperluan lain yang merentas negeri masing-masing.

Nadma memaklumkan PKOB negeri memohon khemah tambahan collapsible tent (C-Tent) berikutan jumlah mangsa banjir meningkat secara mendadak di Kelantan dan aset-aset dari PKOB Pusat untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah memohon tambahan makanan retort sebanyak 50,000 unit untuk diagihkan di PPS, manakala Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) turut digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di negeri-negeri terjejas terutama Kelantan,” katanya.

Jumlah penduduk terjejas akibat banjir melanda beberapa negeri antaranya Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor semakin meningkat dengan 85,625 mangsa ditempatkan di PPS sehingga 2 petang.

Nadma berkata Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi banjir di seluruh negara sebagai rujukan semua.

Jelasnya, amaran bencana seperti hujan berterusan dan banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan tatacara operasi piawaian ditetapkan.

“Ini termasuk kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Nadma menasihati orang ramai berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mengikut arahan untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.