Pemandu kereta merah langgar lari penunggang basikal berjaya dikesan

Pemandu kereta merah langgar lari penunggang basikal berjaya dikesan

Pemandu berusia 22 tahun itu dibebaskan selepas diambil keterangan manakala keretanya disita untuk siasatan.

Tangkap layar kejadian yang tular di media sosial memaparkan seorang penunggang basikal dilanggar dari arah belakang.
PETALING JAYA:
Pemandu kereta berwarna merah yang dirakam melanggar seorang penunggang basikal dari arah belakang di Jalan Kinabalu, pagi tadi, berjaya dikesan dan sudah diambil keterangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Sarifudin Mohd Salleh, berkata pemandu kereta berkenaan yang berusia 22 tahun itu kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan.

Sarifudin berkata, pemandu berkenaan dikehendaki selepas video berdurasi satu minit tular memaparkan seorang penunggang basikal menghala ke Jalan Kuching, dilanggar kereta berwarna merah itu di Jalan Kinabalu, pada jam 7.15 pagi tadi.

“Bagaimanapun, kereta terbabit meneruskan perjalanan tanpa berhenti di tempat kejadian. Penunggang basikal lelaki berusia lingkungan 33 tahun dan bertugas sebagai anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kecederaan ringan.

Keadaan basikal penungggang berusia 33 tahun yang rosak selepas dilanggar dari arah belakang di Jalan Kinabalu pagi tadi. (Gambar PDRM)

“Mangsa hadir membuat laporan polis di Balai JSPT Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Difahamkan, kereta pemandu itu disita bagi siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.