
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata, dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun itu ditahan dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur dari 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi, lapor Bernama.
“Reman terhadap kedua-dua individu terbabit diperoleh lima hari hingga 10 Feb bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya
pada sidang media selepas program di Institut Latihan DBKL, Cheras, hari ini.
Sebelum ini, lima individu telah ditahan dan tiga lagi dikesan bagi membantu siasatan kes itu.
Terdahulu dilaporkan sebuah Toyota Hilux dan Toyota Vios dipandu secara melulu melalui jalan di depan pusat hiburan terbabit sebelum melanggar sekumpulan lelaki, mengakibatkan dua orang cedera.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan suspek dan kumpulan mangsa semasa berhibur di sebuah kelab berhampiran.