
Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy, mengarahkan hukuman berkenaan ke atas jurujual aksesori kereta, K Darmaraju, 32.
Selain itu, hakim mengekalkan denda RM12,000 serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun seperti diputuskan sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman dalam hujahnya, menyatakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 yang dikenakan sebelum ini tidak mencerminkan matlamat pindaan undang-undang serta komitmen Parlimen dalam melindungi hak dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Denda RM12,000 sudah dibayar tertuduh. Hukuman penjara 30 hari berlalu sekelip mata berbanding penderitaan mangsa yang mengalami kecacatan kekal dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga serta rawatan hospital.
“Untuk makluman mahkamah, Suhailiza Shamsudin, 49 (pembonceng motosikal) masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat pendarahan di kepala,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal, Faizal Mat, 53, mengalami patah tulang selangka dan luka di pergelangan kaki, manakala pembonceng, Suhailiza mengalami pendarahan di kepala, patah pergelangan kaki serta retak tulang rusuk kanan.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Kejadian ini jelas menunjukkan betapa seriusnya impak akibat pemanduan laju dan melulu oleh tertuduh,” katanya.
Pada 13 Mei, Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman penjara 30 hari bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Mei serta denda RM12,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda selepas tertuduh mengaku bersalah memandu secara melulu di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar, kira-kira 2.30 petang, 10 Mei.