Terima wang bantu lepaskan asing, pegawai imigresen didenda RM50,000

Terima wang bantu lepaskan asing, pegawai imigresen didenda RM50,000

Yusrazif Wan Yusoh mengaku bersalah menerima deposit tunai dan pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM15,000.

Mahkamah mengarahkan Yusrazif Wan Yusoh dipenjara dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar dendanya.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai imigresen didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku menerima wang berjumlah RM15,000 bagi membantu melepaskan beberapa warga China dan Filipina di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), tahun lepas.

Yusrazif Wan Yusoh, 42, mengaku bersalah atas lima pertuduhan pindaan menerima benda berharga, iaitu deposit tunai dan pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM15,000 daripada Yuen Hon Loong bagi pelepasan beberapa warga China dan seorang warga Filipina melalui kaunter Imigresen, Balai Pelepasan, klia2, Sepang, Selangor.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Alliance Islamic Bank Berhad cawangan Putrajaya, Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya antara 28 Okt dan 16 Nov 2020.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Suzana Hussin memerintahkannya dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda, lapor Bernama.

Terdahulu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Yusrazif yang ditahan dalam Op Selat memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya telah insaf selain perlu menanggung isteri dan empat anak.

“Anak guam saya seorang daripada dua pegawai imigresen yang membantu pihak berkuasa untuk menjatuhkan sindiket cop palsu. Dia juga menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada orang awam.

“Hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan yang dilakukan dan sebagai amaran kepada masyarakat agar tidak melibatkan diri dengan rasuah,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Yusrazif yang berkhidmat di Jabatan Imigresen sejak 12 Mac 2006 telah diberikan tugas, antaranya memantau pemeriksaan masuk dan keluar penumpang warganegara, penduduk tetap dan warga asing di kaunter pemeriksaan imigresen di klia2.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menerima daripada Yuen, senarai nama serta butiran pasport warga asing yang bermasalah kerana memasuki Malaysia menggunakan “pasport terbang”.

Tertuduh kemudian membantu urusan pelepasan warga asing berkenaan untuk kembali ke negara asal. Sebagai balasan, Yuen akan membuat pembayaran kepada tertuduh secara pindahan wang dalam talian setiap kali bantuan diberikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.