
Sidang tiga hakim dipengerusikan Azmi Ariffin memutuskan bahawa tertuduh, Zaw Thin, 54, mempunyai niat untuk membunuh mangsa, Wai Zin Ang.
Azmi menarik perhatian pada tikaman yang dilakukan pada leher dan abdomen, disifatkan sebagai bahagian penting pada tubuh, yang dilakukan menggunakan sebilah pisau daging, dan lazimnya mencukupi untuk menyebabkan kematian.
Mahkamah turut mengambil kira keterangan saksi mata yang melihat tertuduh keluar dari sebuah bilik di rumah berkenaan sambil memegang pisau berlumuran darah.
“Selepas kejadian, tertuduh melarikan diri namun berjaya ditangkap polis dua hari kemudian,” katanya yang bersidang bersama Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Meor Hashimi Abdul Hamid.
Keterangan pakar patologi turut menunjukkan terdapat kesan kecederaan mempertahankan diri pada mangsa, sekali gus menggambarkan bahawa tertuduh berada dalam keadaan menyerang ketika kejadian.
Mahkamah Rayuan mendapati hakim sebelum ini terkhilaf apabila meminda pertuduhan kepada kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun.
“Kami tidak berpendapat wujud provokasi yang serius dan secara tiba-tiba oleh mangsa sehingga mencetuskan pergaduhan,” kata Azmi.
Sidang hakim juga menolak dakwaan bahawa tertuduh berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah kedai di Jalan Pahat, Petaling Jaya pada 8.30 malam, 29 Ogos 2019.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai 31 Ogos 2019. Tertuduh masih mempunyai satu peluang untuk membuat rayuan terakhir ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai mewakili pihak pendakwaan manakala tertuduh diwakili R Mahendren Naidu selaku peguam.