
Ismail yang menjadi perdana menteri pada 21 Ogos lalu menuntut permohonan maaf dan ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Anina, bekas ahli Umno Langkawi yang kemudian menyertai PPBM sebelum meninggalkan parti berkenaan.
Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail berkata, persetujuan itu direkodkan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril dalam prosiding dalam talian.
“Kedua-duanya memasuki penghakiman persetujuan berdasarkan terma perintah injunksi terdahulu. Tiada perintah melibatkan kos atau ganti rugi yang dikeluarkan,” katanya.
Ragunath berkata, prosiding hari ini adalah penyelesaian penuh dan muktamad dalam saman fitnah berkaitan hantaran Anina di Facebook.
Firus pada 25 Mac lalu menetapkan 1 Okt ini untuk perbicaraan kes itu.
Ismail yang ketika itu menteri pertahanan dalam pentadbiran pimpinan Muhyiddin Yassin, diberikan injunksi dengan Anina diarahkan memadam semua hantarannya sehingga keputusan akhir perbicaraan diperoleh.
Anina ketika itu memaklumkan Firuz, beliau yang juga suri rumah akan mewakili dirinya kerana tidak mampu melantik peguam.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail mendakwa Anina menyerangnya dalam kapasiti peribadi 13 kali antara 5 Feb hingga 3 Mac. Kata-kata itu didakwa menjejaskan nama baiknya, malah tiada kaitan dengan dasar kerajaan atau tugasnya sebagai menteri.