
Dalam sesi temu bual bersama media, Khairy menggariskan beberapa indeks prestasi utama yang akan disusunnya dalam 100 hari akan datang, menteri pertama yang melakukannya setelah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan cabaran itu kepada Kabinetnya.
Pertama sekali beliau berhasrat untuk melihat 80% populasi dewasa diberi vaksin sepenuhnya dalam 100 hari, dan juga melancarkan vaksin untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, bermula di Sarawak.
Ahli Parlimen Rembau itu juga akan berusaha untuk mengurangkan penggunaan katil bagi pesakit ICU Covid-19 dikurangkan kepada 70% kapasiti, manakala katil bukan ICU pula kurang dari 50%, melihat dari ‘proxy indicator’ bagi Kadar Keseriusan Pesakit.
“Kita akan memastikan bahawa tiada negeri dengan kapasiti ICU yang tidak mencukupi . Kita juga akan menghantar ‘field unit’ ICU kepada mana-mana negeri yang memerlukan lebih kapasiti ICU untuk pesakit Covid-19 dalam 100 hari.
“Kita juga akan pastikan bahawa peratus fasiliti kesihatan yang mempunyai silinder oksigen mencukupi berdasarkan keperluan. Bagi kes BID pula kita akan usaha untuk mengurangkan daripada jumlah kematian sekarang ini, 21% kepada kurang kepada 15%,” katanya.
Pusat Penilaian Maya Covid-19 akan ditubuhkan di negeri-negeri di luar Lembah Klang sementara telekonsultasi kesihatan akan ditingkatkan sebanyak 30% di 40 klinik kesihatan untuk kes bukan Covid-19, katanya.
“Kita juga akan memastikan bahawa ‘backlog’ dari segi pembedahan am (elektif) yang terpaksa ditanggung disebabkan Covid-19 akan dikurangkan pada kadar 20%, dalam tempoh 100 hari pertama dengan memindahkannya ke hospital swasta.”
Beliau juga berkata, 70% klinik pergigian akan kembali menyambung perkhidmatan, termasuk prosedur berkaitan penghasilan aerosol, sambil menambah bahawa ia adalah untuk menjadikan sektor kesihatan kembali normal selepas Covid-19.
Khairy juga berjanji untuk bekerja sama dengan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) bagi membuat kerangka SOP yang lebih mudah dalam 100 hari, ketika negara beralih ke fasa endemik.
Kempen tingkat kesedaran, tangani masalah kesihatan mental
Sementara itu, bagi menangani masalah kesihatan mental di negara ini, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan memulakan kempen untuk meningkatkan kesedaran, sambil berkata bahawa peratus individu yang sedar tentang talian sokongan sangat rendah.
“Kita akan memastikan bahawa kita ada kempen jadi semua rakyat tahu bahawa kita ada perkhidmatan kesihatan mental. Saya telah minta bahawa kapasiti bantuan psikologi sosial meningkat sebanyak 10% untuk menangani panggilan dan rujukan.
“Kami juga akan meningkatkan bilangan NGO yang terlibat dalam menyokong kesihatan mental. Kami akan memberikan sokongan kewangan kepada 20 lagi NGO, menambah kepada 20 yang sudah pun bersama kami dalam menyokong dan membantu individu berdepan masalah kesihatan mental,” katanya.
Selain itu, Khairy turut berjanji mengumumkan polisi dan rancangan pelaksanaan dos tambahan, sambil menambah ia kemungkinan besar akan dimulakan pada awal tahun depan. KKM juga akan mendedahkan penemuan kementerian mengenai ujian klinikal Ivermectin, katanya.
Dasar penambahbaikan dos juga akan merangkumi sama ada dos vaksin berbeza boleh dicampurkan, katanya.
Isu libatkan doktor kontrak
“Saya juga akan memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai dalam masalah yang melibatkan doktor kontrak. Beberapa butiran belum diumumkan kerana masih dibincangkan dengan Perbendaharaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Tetapi dalam 100 hari ini, insya-Allah, kita akan melihat masalah ini diselesaikan,” katanya.
Selain itu, Khairy turut menyentuh mengenai langkah penelusuran kontak yang dicadang menggunakan sistem yang lebih automatik, selain mewujudkan dasar pengujian dan penelusuran bagi fasa endemik.
KKM juga akan menambah 14 alat ujian kendiri ke dalam senarai peranti yang diluluskan dan menawarkan lebih banyak pilihan dan persaingan, yang diharapkannya dapat membantu menurunkan harganya.
Pembelian alat juga akan dipermudahkan, contohnya supaya lebih mudah diperoleh pengguna seperti di kedai runcit dan bukan sekadar di farmasi atau kemudahan penjagaan kesihatan.
Selain itu, aplikasi MySejahtera bakal ditambah ciri baharu bagi membolehkan bekas bekas pesakit Covid-19 dapat melaporkan kesan jangka panjang dialami.
Saringan percuma juga dirancang disediakan dengan mengambil kira golongan rentan dan B40 terutamanya.
Tambahnya, berkaitan penyakit tidak berjangkit, cukai minuman manis juga akan dinaikkan, selain satu jawatankuasa dibentuk bagi menangani masalah kanak-kanak bantut termasuk melihat apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi kekurangan zat makanan kanak-kanak.