Polis selamatkan lelaki Bangladesh diculik rakan senegara

Polis selamatkan lelaki Bangladesh diculik rakan senegara

Polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa daripada majikannya yang memaklumkan pekerjanya hilang sejak 27 Ogos.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan orang dengan niat hendak mengurungnya secara salah serta Seksyen 384 kanun sama kerana melakukan pemerasan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diculik dua rakan senegara di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa berusia 39 tahun daripada majikannya yang memaklumkan pekerjanya hilang sejak 27 Ogos dan dipercayai dilarikan suspek ketika berada di kawasan Taman Jelok Ria.

“Suspek menghubungi isteri mangsa yang berada di Bangladesh supaya memasukkan wang tunai satu juta Taka (anggaran RM50,000) ke akaun bank Bangladesh. Isteri mangsa yang ketakutan melakukan transaksi berkenaan ke satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali.

“Selepas tiga hari diculik, suspek meminta tambahan sebanyak satu juta Taka (RM50,000) untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di satu tempat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kehabisan wang, isteri mangsa menghubungi majikan suaminya itu untuk meminta bantuan dan pengadu membuat laporan polis semalam.

Zaid berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menahan empat suspek berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun di hadapan sebuah kedai di TTDI Grove Kajang dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang dan menemui mangsa dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah serta kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai dan dikunci dengan mangga.

“Semasa polis menyelamatkan mangsa, seorang wanita warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek turut ditahan manakala semua suspek terlibat akan dibawa ke Mahkamah Kajang hari ini untuk direman,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan orang dengan niat hendak mengurungnya secara salah serta Seksyen 384 kanun sama kerana melakukan pemerasan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian tampil membantu polis dengan menghubungi balai polis terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.