
“Sikap seperti ini memburukkan imej rakyat dan negara kita, membuatkan orang rasa tidak senang terhadap kita,” kata Law King Kiew, yang bertanding dalam acara angkat berat pada Sukan Paralimpik 2000 di Sydney.
Selasa lalu, Muhammad Ziyad Zolkefli memecahkan rekod dunia dengan jarak lontaran 17.94m pada percubaan ketiganya, namun kemudian dimaklumkan beliau hilang kelayakan kerana tiba di bilik panggilan (call room) tiga minit lewat.
Pingat emasnya diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval, dan ini mendorong peminat Ziyad menuduhnya “merompak” kegemilangan hero negara itu.
Beberapa peminat mula melontarkan kecaman terhadap Koval di media sosial, dengan “MH17” sohor kini pada hari berikutnya, merujuk kepada pesawat yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mengorbankan 298 orang.
Law berkata, warga Ukraine itu hanya bertanding dalam acara sukan dan peminat tidak patut melempiaskan kemarahan terhadap mereka.
“Semestinya kita nak sokong atlet kita, namun ini bukan cara yang betul,” tambahnya.
“Peraturan tetap peraturan. Jika jurulatihnya tidak dapat memastikan Ziyad tiba di bilik panggil tepat pada masanya, kita perlu bertanyakan kenapa ini terjadi.”
Katanya, semua sukan mempunyai peraturan yang mungkin dianggap sembarangan, mengimbau kembali saat dia menjadi hakim teknikal ketika plaster tidak dibenarkan ditampal di badan atlet angkat berat Paralimpik.
Malah, perenang Malaysia Muhd Nur Syaiful Zulkafli turut dibatalkan kelayakannya dalam acara gaya bebas 200m di Tokyo kerana memakai plaster di bahunya.
“Ia (plaster) tidak memberi sebarang kesan terhadap prestasi, namun itu tidak penting. Jika itu peraturannya, mesti pastikan ia diikut. Ia perlu dimaklumkan kepada atlet oleh jurulatih supaya isu-isu sebegini tidak timbul,” katanya.
Law menzahirkan rasa simpati buat Ziyad, namun beliau memberi kata-kata semangat.
“Sukan Paralimpik seterusnya adalah dalam masa tiga tahun. Beliau baru berusia 31 tahun, jadi boleh cuba lagi,” katanya.
“(Situasi) ini pasti sukar dihadapinya, terutamanya dengan segala kekecohan mengenainya. Namun, ini bukan peluang terakhirnya dan saya pasti beliau mampu kembali (bertanding) jika mahu.”
Komen Law senada dengan jurucakap Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa Craig Spence mengecam layanan peminat Malaysia terhadap warga Ukraine semalam.
Beliau menyifatkan emosi yang ditunjukkan ramai rakyat Malaysia di media sosial sebagai “kasar” dan “tidak masuk akal”.
“Orang kata atlet Ukraine ‘rompak’ pingat emas itu. Tidak betul sama sekali,” katanya.
Kewajipan untuk hadir tepat pada masanya, seperti yang diperuntukkan dalam peraturan, terletak atas atlet, tambahnya.