
AGC berkata, Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan sabitan dan hukuman.
“Perintah pengampunan yang dititahkan oleh Agong ke-15 menyatakan Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Pada Selasa, Waytha Moorthy memfailkan saman bagi mendapatkan deklarasi bahawa Anwar tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada November 2022 dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri.
Beliau berhujah, pengampunan diraja diterima Anwar pada 2018 tidak menyatakan beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas bebas dari penjara.
Waytha, menteri dalam kerajaan Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020 memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022, dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, batal dan tidak sah.
Dalam pada itu, AGC berkata, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya, sebagaimana diperuntukkan bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
“(Ia) hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.