Peter ada 14 hari sebelum kerusi DUN Melalap kosong, kata speaker

Peter ada 14 hari sebelum kerusi DUN Melalap kosong, kata speaker

Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya hari ini berkata, status Peter Anthony sebagai Adun akan ditentukan setelah peruntukan undang-undang berkaitan dipenuhi.

Adun Melalap Peter Anthony gagal membatalkan sabitan kerana memalsukan surat daripada pejabat naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan penipuan 11 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun Melalap Peter Anthony mempunyai 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan berikutan rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara ditolak, sebelum kerusinya dikosongkan secara automatik.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan memalsukan surat daripada pejabat naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan penipuan 11 tahun lepas.

Hukuman tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu turut kekal.

Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan status Peter sebagai Adun akan ditentukan setelah peruntukan undang-undang berkaitan dipenuhi.

“Mengikut Perkara 17(1)(e) bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Adun disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai Adun.

“Namun peruntukan tersebut hendaklah dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain mengikut Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan Adun.

“Oleh demikian, status Peter sebagai Adun Melalap akan diputuskan setelah semua peruntukan undang-undang berkaitan dengan perkara tersebut telah dipenuhi,” katanya, lapor Berita Harian.

Kadzim berkata demikian pada sidang media khas di bangunan DUN Sabah di Kota Kinabalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.