Lindung pesalah trafik terlibat kemalangan maut, pembantu kedai didakwa

Lindung pesalah trafik terlibat kemalangan maut, pembantu kedai didakwa

S Thanaraj, 41, didakwa melindungi G Kesavan, 31, yang diketahuinya adalah pesalah bagi kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah membenarkan S Thanaraj diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Okt untuk sebutan semula kes. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan melindungi pesalah trafik yang terlibat dalam kemalangan maut bagi mengelak lelaki itu dikenakan tindakan undang-undang.

S Thanaraj, 41, didakwa melindungi G Kesavan, 31, yang diketahuinya adalah pesalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Thanaraj dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mahameru, di sini pada 4 pagi, 14 Ogos lepas, lapor Bernama.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 212 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret S Mageswary membenarkan Thanaraj diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin manakala tertuduh diwakili peguam M Mathavan.

Polis dalam kenyataan hari ini berkata, seorang lelaki telah ditangkap selepas membawa lari pesalah trafik yang terlibat dengan kemalangan maut di sini pada 13 Ogos lepas.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Selayang, pengawal keselamatan Muhammad Danish Jezreel Abdullah, 29, mengaku tidak bersalah sengaja menyebabkan kecederaan isterinya Hana Mardhiyah Tamilis Abdullah, 30, dalam satu pertengkaran di pos pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Rawang, dekat sini pada 6 petang, 23 Ogos lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Muhammad Danish tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Wanita itu yang juga pengawal keselamatan dilaporkan cedera di tangan dalam pertengkaran itu.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.