Daging khinzir haram, tetapi rasuah lebih teruk, jijik, Ayob Khan peringatkan anggota polis

Daging khinzir haram, tetapi rasuah lebih teruk, jijik, Ayob Khan peringatkan anggota polis

Ketua Polis Johor mengingatkan anggota polis bahawa hidup melebihi kemampuan akan mengakibatkan mereka terjebak rasuah bagi memenuhi keinginan mereka.

Ayob Khan Mydin Pitchay bersetuju elaun anggota polis perlu dikaji semula berikutan peningkatan kos sara hidup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, gaji dan elaun polis yang agak rendah tidak boleh dijadikan alasan sama sekali untuk terbabit dalam rasuah kerana mereka sedia maklum gaji yang akan diperolehi apabila menyertai pasukan itu.

Beliau mahukan gaji dan elaun untuk anggota polis dikaji semula kerana kos sara hidup yang meningkat, namun menegaskan amalan rasuah harus ditolak sama sekali.

Bagi anggota polis beragama Islam yang terlibat dalam rasuah, Ayob bingung apabila mereka bingkas mengatakan daging khinzir “haram,” tetapi pada masa sama terlibat dalam rasuah yang jauh lebih teruk.

“(Mereka) boleh cakap daging khinzir ni haram, nak tengok pun tak boleh, tetapi rasuah okay.

“Daging khinzir ini dalam keadaan darurat kita boleh makan untuk terus hidup, saya ulang ketika darurat sahaja. Tetapi rasuah dalam apa jua keadaan pun, kita tak boleh makan, betapa jijiknya rasuah ini.

“Saya buat perbandingan macam itu dah cukup, kalau kita tak faham lagi, kalau kita tak tengok jijik lagi rasuah ini, saya tak tahu apa lagi perumpamaan yang boleh saya bagi. Itu saja pesanan saya,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani petang tadi.

Mengenai gaji dan elaun anggota polis, Ayob Khan bersetuju ia perlu dikaji semula kerana apa yang dibayar ketika ini perlu di seimbangkan dengan peningkatan kos sara hidup.

Sebagai contoh, kadar sewa di Johor untuk rumah yang selesa adalah sekitar RM1,000 sebulan tetapi elaun perumahan anggota polis hanya RM300 untuk lain-lain pangkat dan RM450 untuk pegawai, kata beliau.

Katanya, jurang itu besar dan membawa kesukaran tersendiri kepada anggota polis sekeluarga.

“Mungkin kita tidak dapat memberikan jumlah keseluruhan (kenaikan) tetapi kadar yang ada mesti dinaikkan. Mereka cenderung membandingkannya dengan apa diterima anggota polis Singapura, tetapi itu mungkin tidak adil,” katanya.

Beliau berkata, dengan kos sara hidup semakin meningkat, dan ada sesetengah kuarters balai polis yang dibina pada tahun 70-an hanya mempunyai satu bilik, adalah penting perhatian sewajarnya diberikan kepada kebajikan anggota polis untuk memastikan prestasi mereka sebagai sebuah pasukan kuat dan cekap.

“Kami tidak meminta bulan dan bintang,” katanya.

Ayob berkata, amalan rasuah tidak boleh dikaitkan kepada gaji dan elaun rendah, sebaliknya gaya hidup seseorang turut memainkan peranan.

“Jadi untuk mengatakan mereka mengambil rasuah kerana gaji dan elaun yang rendah, saya tidak setuju. Ia adalah disebabkan nafsu dan ketamakan mereka yang membuatkan mereka menerima rasuah. Kita perlu hidup sesuai dengan gaji kita, ukur baju di badan sendiri. ”

Sebagai contoh, katanya, jika gaji RM2,000 sebulan, tidak perlulah tukar telefon bimbit setiap enam bulan sekali dengan gajet mewah yang mencecah harga RM7,000.

Ayob Khan berkata, ada juga anggota yang menukar kereta setiap enam bulan atau pada setiap Hari Raya.

Menceritakan keadaannya ketika mula menjadi kadet Penolong Penguasa Polis pada tahun 1991, Ayob berkata, beliau hanya membeli Proton Saga terpakai yang digunakan selama 10 tahun.

Beliau kemudian memakai Honda Civic terpakai yang juga digunakan selama 10 tahun sebelum membeli membeli Toyota Wish baharu yang turut dipakai 10 tahun dan dijual baru-baru ini.

Ayob Khan menasihatkan semua anggota polis supaya hidup mengikut kemampuan demi integriti diri dan pasukan polis secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.