
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata syarat lain dikenakan termasuk kajian impak alam sekitar (EIA) dan kajian impak sosial (SIA) dalam memastikan keperluan translokasi spesies flora dan fauna berkepentingan.
“Kerajaan negeri telah mengambil kira kesemua aspek (due diligence) dalam membuat keputusan yang terbaik berkaitan penyahwartaan HSKLU.
“Keputusan ini juga adalah selaras dengan matlamat pembangunan negeri Selangor ke arah kestabilan sosio ekonomi, dinamik, mampan dan lestari,” katanya menurut laporan Kosmo.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU pada 5 Mei lalu.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim, mengarahkan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR negeri Amirudin Shari, memperjelas tindakan penyahwartaan HSKLU kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.
Selain itu, kumpulan penyokong Anwar, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara, untuk dibangunkan.
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata kelulusan itu seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.
Dalam pada itu, semalam, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, berkata kerajaan persekutuan wajar campur tangan dalam isu penyahwartaan HSKLU dan memaksa kerajaan Selangor menyerahkan kawasan hutan itu sekiranya tiada arahan pewartaan semula.
Katanya, Putrajaya boleh memaksa kerajaan Selangor menyerahkan kawasan perhutanan itu mengikut Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan.