
Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memutuskan Austin Heights Sdn Bhd, pemaju Pangsapuri Midori Green, gagal mematuhi syarat dalam perjanjian yang menetapkan pembinaan taman itu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Nor ketika menyampaikan penghakiman lisan, memerintahkan pampasan dan ganti rugi sebanyak RM2.7 juta dibayar kepada 50 pembeli sebagai ganti pelaksanaan khusus berjumlah 10% daripada harga belian setiap unit pangsapuri.
Bagi kelewatan penyerahan milikan kosong kepada 39 plaintif, hakim turut memerintahkan pemaju membayar pampasan berjumlah RM443,641 dan faedah 5% setahun serta kos sebanyak RM50,000.
Pemilik pangsapuri itu dalam saman berhujah, bukan saja tiada taman atas bumbung, defendan bahkan tidak pernah berniat membinanya kerana pelan bangunan diluluskan hanya menunjukkan papak konkrit bertetulang.
Mereka dalam pernyataan tuntutan berkata, syarikat itu merangka perjanjian jual beli, memasukkan senarai kemudahan bersama dan memberitahu pembeli mengenai kewujudan taman bumbung.
“Selepas berbuat demikian, defendan tidak boleh melepaskan diri daripada liabiliti dengan mendakwa kemudahan itu tidak praktikal, dikeluarkan daripada pelan atau salah faham,” kata kumpulan pemilik terbabit.
Mereka juga berkata, taman atas bumbung ditunjukkan sebagai sebahagian kemudahan bersama dalam perjanjian, risalah dan katalog pemasaran.
Para pembeli berhujah, kewajipan syarikat membina taman atas bumbung adalah janji dalam maksud Akta Kontrak dan syarikat itu tidak terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
NG Vinod dan Jackson Daniel mewakili plaintif, manakala pemaju diwakili K Rajasegaran serta A Shymala.