Keluarga Muruli – benar-benar Keluarga Malaysia

Keluarga Muruli – benar-benar Keluarga Malaysia

Keluarga unik pelbagai bangsa dan agama yang disatukan menerusi ikatan perkahwinan jadi contoh sempurna Malaysia mini.

Memakai persalinan pelbagai budaya menjadi satu kebiasaan dalam keluarga ini.
PETALING JAYA:
Keluarga Murulitharan Krishnan Kutty memang benar-benar membuktikan betapa kepelbagaian dapat menguatkan hubungan, malah tidak salah menganggap mereka contoh sempurna ‘Keluarga Malaysia’ sebenar, seperti digagaskan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bukan sekadar bertoleransi, malah keluarga majmuk ini memang benar-benar satu penyatuan pelbagai bangsa dan agama. Seorang menantu perempuan adalah Melayu, manakala seorang lagi beragama Hindu, dan menantu lelakinya pula Kristian.

Sebelum sekatan pergerakan akibat wabak, keluarga besar itu sering berhimpun, malah Murali menyifatkan mereka tidak ubah seperti “Malaysia kecil.”

“Memang seronok apabila kami yang pelbagai bangsa dan agama berhimpun mesra ketika acara kekeluargaan. Memang seronok melihat contoh sebenar Malaysia mini di depan mata,” katanya.

Beliau mengakui pada awalnya memang agak risau apabila anak sulung menyuarakan hasrat mahu mengahwini seorang gadis Melayu.

“Isteri saya berketurunan Nepal-Malaysia. Ketika itu saya bukannya bimbang kerana bakal menantu berlainan agama, namun risaukan sikap hipokrit masyarakat sekeliling. Ada segelintir yang pasti mencerca kerana bersikap katak bawah tempurung,” katanya.

Murulitharan Krishnan Kutty bersama isterinya, Endra Thapa, berketurunan Nepal-Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, beliau sendiri dibesarkan kejiranan pelbagai bangsa di Butterworth, selain bersekolah pada 1960-an yang ketika itu menumpukan kepada penyatuan. Tambahan pula ibu bapanya juga berfikiran terbuka menjadikan dirinya turut sedar negara ini terbentuk hasil kemajmukan masyarakatnya.

“Ada dua perkara yang perlu dipertimbangkan. Pertama, sama ada menantu boleh mesra dengan keluarga kami, dan bukan sekadar toleransi malah menerima sepenuh hati. Kedua, kebahagiaan mereka yang lebih utama, bukannya kami.

“Bukan sahaja Sulaiha Mohd Hayani berperwatakan baik, beliau terbukti menantu dan isteri terbaik kepada anak saya, Kogeelan. Apabila ada acara kekeluargaan, beliau langsung tidak kekok membantu,” katanya kepada FMT.

Sulaiha Mohd Hayani (kanan) menyukai persalinan masyarakat India. Di kiri adalah saudaranya.

Bagi Kogeelan, yang bercinta dengan Sulaiha selama sembilan tahun sebelum mendirikan rumah tangga, isu perbezaan bangsa dan agama tidaklah penting.

“Hidup di Malaysia bermaksud menerima kehidupan satu sama lain, selain mematuhi undang-undang. Sekiranya seluruh keluarga gembira, ia juga akan menyumbang ke arah negara yang bahagia,” katanya.

Sementara itu, Murali berkata menantunya Roy Mithran Jayabalan yang beragama Kristian juga tiada masalah menerima bersama cara hidup keluarganya sebagai penganut Hindu tanpa mengetepikan kehendak agamanya.

“Beliau juga adalah kurniaan kepada anak perempuan kami, Kavitha. Hubungan kami memang baik malah saling menghadiri upacara keagamaan masing-masing walaupun tidak menyertai,” katanya.

Roy Mithran berkata, perbezaan agama hanya sesuatu yang dieksploitasi ahli politik demi kepentingan mereka tanpa memikirkan kesan tindakan berkenaan.

“Dari awal lagi saya dan isteri jelas dalam pendirian kami, iaitu supaya benar-benar menghormati perbezaan agama masing-masing kerana kita semua berhubung dengan tuhan mengikut cara tersendiri.

“Saya sentiasa hadir dalam upacara keagamaan dan kebudayaan lain dalam keluarga saya sendiri cuba beribadat mengikut cara sendiri,” katanya.

Kavitha Murulitharan (dari kiri), Yasotha Suriamoorthy dan Sulaiha Mohd Hayani menggayakan baju kurung.

Menantu Muruli beragama Hindu, Yasotha Sooriyamurthi, menjadi yang terakhir menyertai keluarganya itu.

Yasotha mengakui seronok apabila berhimpun bersama keluarga itu kerana melihat sendiri kepelbagaian dalam kalangan mereka.

“Saya sentiasa seronok melihat kegembiraan yang terpacar di wajah mentua setiap kali kami berhimpun bersama. Kasih sayang antara kami semua mengatasi perbezaan agama dan kepercayaan. Penyertaan saya dalam keluarga ini memang melengkapkan Keluarga Malaysia kerana agama saya,” katanya.

Suaminya Jayaprakash berkata, memang kebetulan Yasotha beragama Hindu.

“Namun, kehadirannya dalam keluarga seperti melengkapkan pautan kami sekeluarga. Kepelbagaian keluarga kami ini memang amat unik. Di saat itu, memang kami dapat merasai betapa kami adalah rakyat Malaysia sebenar,” katanya.

Muruli berkata, pengalaman bekerja sebagai pengurus estet membantu membangunkan sahsiah dirinya, kerana membuka matanya bagaimana semua orang merasai susah senang dengan tanpa mengira bangsa.

“Saya dan keluarga tidak pernah berdepan masalah berkaitan bangsa atau agama dalam kehidupan kami. Namun, selepas berpindah ke bandar, saya menyedari begitu banyak sikap toksik dalam hubungan berlainan yang merosakkan segalanya.

Muruli berkata, sekiranya semua rakyat Malaysia dapat menerima cara hidup tanpa ada bangsa mengaku mereka lebih baik daripada yang lain, negara ini pastinya mampu lebih hebat sebagai Keluarga Malaysia.

“Bagaimanapun, banyak lagi perlu dilakukan untuk mencapainya.

“Saya masih mempunyai seorang anak lelaki bujang, siapa tahu mungkin dia mampu membawa menantu perempuan Cina sekali gus terus melengkapkan keluarga ini,” katanya bergurau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.