Keharmonian negara lahir daripada sifat saling hormat, kata PAS

Keharmonian negara lahir daripada sifat saling hormat, kata PAS

Takiyuddin Hassan berkata, rakyat Malaysia mungkin tak setuju semua perkara, namun boleh pilih untuk fahami, dukung hak semua.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, Malaysia harus terus jadi teladan yang cemerlang jalani ‘kehidupan bersama yang sihat dan matang’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia tidak boleh dibina melalui keseragaman, sebaliknya menerusi kesediaan dan keikhlasan semua pihak untuk menghargai serta melindungi ruang setiap rakyat, menurut PAS.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, Malaysia harus terus menjadi teladan yang cemerlang untuk menjalani ‘kehidupan bersama yang sihat dan matang’.

“Kita mungkin tidak akan bersetuju tentang semua perkara, namun kita boleh memilih untuk mendengar, memahami dan mendukung hak serta kehormatan semua orang yang bernaung di bawah langit Malaysia yang sama,” kata Takiyuddin dalam ucapan sempena Krismas.

Beliau berkata, nilai-nilai yang diangkat semasa sambutan Krismas, termasuk kasih-sayang, kemaafan, tawaduk dan khidmat bakti adalah juga nilai bersama dikongsi semua agama dan kepercayaan, termasuk Islam.

Katanya, kepelbagaian ialah amanah yang mesti dilindungi dengan ikhlas dan bijaksana, dan setiap rakyat, tanpa mengira agama mahupun kepercayaan, mesti bersatu hati dan impian untuk membina sebuah negara yang adil, selamat dan bermaruah untuk semua.

“PAS mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian dengan harapan ia akan menjadi detik untuk memperkukuh hubungan, memperbaharui harapan dan menegaskan komitmen kepada budaya kasih sayang serta muhibah sesama insan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.