Bekas penjual buah dituduh edar dadah terlepas hukuman mati

Bekas penjual buah dituduh edar dadah terlepas hukuman mati

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Cheng Kui Fat, 29, dari tarikh dia ditahan pada 18 Mei 2019 selepas mahkamah meminda pertuduhan kepada memiliki dadah.

Cheng Kui Fat (kiri) yang berdepan tuduhan mengedar dadah sebelum ini terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan kepada memiliki dadah jenis ketamin. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang bekas penjual buah yang menghadapi pertuduhan mengedar dadah, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda pertuduhan kepada memiliki dadah jenis ketamin.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Cheng Kui Fat, 29, dari tarikh dia ditahan pada 18 Mei 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 5.30 pagi, 18 Mei 2019.

Cheng sebelum ini didakwa mengedar ketamin seberat 1,730.6 gram dan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (B) (2) akta yang sama, iaitu gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah meminda pertuduhan kepada Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Nurulhuda Nur’aini ketika membuat penghakimannya berkata, tiada bukti yang menyatakan tertuduh mengedar dadah tersebut dan tiada saksi yang mengatakan bahawa jumlah berat dadah yang ada padanya adalah untuk tujuan pengedaran.

“Tiada saksi yang dapat memutuskan bahawa berat dadah itu adalah untuk pengedaran dan mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya mematahkan pertuduhan tersebut, bagaimanapun mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan memiliki dadah jenis ketamin,” katanya.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan telah memanggil tujuh saksi manakala pembelaan dibuat menerusi keterangan bersumpah tertuduh di kandang saksi.

Tertuduh diwakili peguam Anwar Raof sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.