
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Basri Sagoni, berkata kejadian pada Rabu lalu itu berlaku pada 3 petang ketika mangsa berusia 68 tahun yang juga pesara juruteknik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menegur anak bongsunya itu jangan menconteng dinding menggunakan pen marker.
“Tidak berpuas hati dengan teguran, anak bongsunya bertindak memarahi dan menendang pengadu dengan menggunakan kaki di bahagian rusuk kanan badan pengadu.
“Pergaduhan menyebabkan pengadu mengalami sakit di bahagian badan dan leher. Pengadu telah pulang ke rumah isterinya di Seremban pada 26 Ogos dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Basri berkata, pakar perubatan mengesahkan pengadu mengalami patah satu tulang rusuk kanan dengan laporan pemeriksaan awal kesihatan daripada pegawai perubatan akan dipohon bagi melengkapkan siasatan.
“Pada 26 Ogos 2021 jam 9.20 malam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pergi ke rumah pengadu dan menjalankan tangkapan ke atas suspek yang merupakan anak lelaki pengadu berusia 26 tahun,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek mengaku telah menendang perut bapanya kerana mahu mempertahankan diri daripada dipukul,” katanya.
Katanya, suspek direman selama dua hari hingga 28 Ogos.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya.