
Bercakap kepada FMT, lima ahli ekonomi menggariskan harapan pelantikan semula menteri yang sebelum ini mengisi jawatan sama bawah pentadbiran kerajaan Muhyiddin Yassin.
“Mereka perlu mengemukakan strategi lebih baik sekarang bagi membantu golongan rentan…sebahagian rakyat negara ini tidak mempunyai apa-apa untuk mengisi perut ahli keluarga mereka,” kata Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak.
“Mungkin inisiatif seperti bank makanan atau setem makanan di mana mereka terkesan mendapat bekalan dari pasar atau pasar raya. Itu sebagai langkah permulaan.
“Saya berharap menteri kewangan mungkin lebih kreatif ketika ini selepas mengambil kira untuk tidak sambil lewa lagi sebagai orang berjawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Geoffrey Williams dari Malaysia University of Science and Technology (MUST), mengesyorkan sejumlah RM35 bilion geran langsung diperuntukkan kepada isi rumah B40 dan M40 (atau RM1,500 setiap ketua isi rumah) dan RM10 bilion geran langsung pemulihan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau RM10,000 setiap pemilik perusahaan itu.
Katanya, adalah penting “sokongan tanpa syarat” dengan membenarkan isi rumah mahupun syarikat membelanjakan mengikut keperluan “tanpa perlu seseorang dari Putrajaya memberitahu bahawa mereka lebih mengetahui bagaimana untuk menguruskan hal rumah tangga dan perniagaan masing-masing”.
Ditanya mengenai pelantikan kedua-dua mereka memberi kesan terhadap keyakinan pengguna dan pelabur, Williams berkata, “soal individu bukan isu utama”, namun isunya adalah individu sama melaksanakan kerangka dasar sama, dan berharap kesan lebih baik.
“Apa yang kita perlukan adalah keberanian menukar kerangka dasar. Keyakinan pengguna dan pelabur akan kembali apabila mereka melihat perubahan dasar untuk mengakhiri ‘lockdown’ dan membuka semula ekonomi.
“Mereka juga perlu lebih baik memandang ke hadapan, selain menerima nasihat lebih meluas daripada kumpulan ahli ekonomi. Ini akan menimbulkan keyakinan kerana sebelum ini jangkaan mereka kebiasaannya lewat dan sentiasa berlaku kesilapan,” katanya.
Williams juga menggesa “strategi pasaran sosial baharu” bertujuan membina semula ekonomi, memulihkan PKS, membina prasarana kebajikan sosial lebih sempurna, meningkatkan sistem kesihatan dan menangani pengangguran berstruktur dan golongan “underemployment”.
Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Shankaran Nambiar, berkata dengan perdana menteri baharu bersama “kesegeraan baharu”, beliau berharap kedua-dua menteri terbabit meletakkan kedudukan mereka pada paras lebih tinggi.
“Tok Pa (Mustapa) dikenali sebagai teknokrat, jadi mungkin beliau adalah individu sesuai untuk jawatan itu.
“Zafrul pula pastinya mengikuti pakej rangsangan Covid-19 (secara dekat) dan sepatutnya sudah arif dengan implikasi kewangan untuk menyokong tekanan ekonomi,” katanya.
Sambil menyatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menyokong dasar bersama dan berjanji menjadikan semula Malaysia hab serantau pelaburan, Shankaran berkata, Ismail boleh menekankan kepada dasar lebih berkesan termasuk sistem penyampaian lebih kukuh.
Katanya, kedua-dua menteri terbabit tidak sepatutnya dihakimi menerusi ‘kriteria buatan’ seperti 100 hari, sambil menyatakan Zafrul perlu menumpukan kepada pembentangan bajet akan datang.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kedua-dua menteri itu perlu memastikan mereka meletakkan sistem di mana rakyat berkemampuan melakukan langkah semula dalam aktiviti ekonomi.
“Secara jelasnya, keutamaan paling penting adalah menjadi pemudah cara pembukaan semula ekonomi selepas mengambil kira program vaksinasi berjalan sangat baik.
“Lebih utama, industri pelancongan yang ditutup secara berlanjutan perlu dilengkapi dengan corak pemikiran yang betul, disusuli kemahiran dan sumber apabila ekonomi bermula untuk dibuka,” katanya.
Katanya, dasar utama juga adalah berterusan memberi jaminan terhadap pelabur, perniagaan dan rakyat secara keseluruhannya, dengan kerajaan mempromosikan dasar fiskal untuk menyokong pertumbuhan.
Dalam pada itu, Nazari Ismail dari Jabatan Strategi dan Dasar Perniagaan Universiti Malaya, berkata Ismail perlu bekerja memastikan wabak berada dalam keadaan terkawal, manakala kedua-dua menteri terbabit pula menumpukan kepada peningkatan ekonomi.
“Ini bukan tugas mudah. Banyak cabaran perlu didepani,” katanya.
Ditanya, bagaimana pelantikan Mustapa dan Zafrul memberi kesan terhadap keyakinan pengguna dan pelabur, Nazari berkata, kesannya adalah terhad.
“Walaupun kedua-duanya mengetahui isu kewangan dan ekonomi, banyak perkara adalah di luar kawalan mereka,” katanya.