Perjanjian PM dengan PH tak jejas Umno, kata penganalisis

Perjanjian PM dengan PH tak jejas Umno, kata penganalisis

Penganalisis melihat ia boleh memberi gambaran positif kepada Ismail dan partinya.

(Dari kiri) Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika menghadiri mesyuarat semalam.
PETALING JAYA:
Pakar menolak kemungkinan Umno akan terjejas oleh perjanjian yang dibuat oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Ini walaupun parti itu bertegas dengan pendirian rasmi mereka untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan bekas ahli akademik Azmi Hassan memberitahu FMT, malahan Umno mungkin mendapat manfaat daripada langkah Ismail membabitkan pembangkang itu.

Ismail adalah naib presiden Umno.

Oh berkata, kenyataan yang dikeluarkan bersama ketua PKR, DAP dan Amanah semalam menggambarkan imejnya sebagai negarawan.

“Saya tidak percaya ia akan menjejaskan Umno langsung,” katanya.

“Apabila Umno berkata ‘no Anwar, no DAP’, maksudnya ialah berkongsi kuasa dengan mereka.”

Beliau berkata, kenyataan bersama semalam boleh dilihat sebagai inisiatif Ismail untuk mengadakan kerjasama dengan pembangkang menerusi pendekatan Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya.

“Jadi ia adalah kemenangan bagi Umno.”

Azmi berkata pendirian ‘no Anwar, no-DAP’ oleh Umno tidak terjejas oleh perjanjian itu kerana ia tidak bermaksud PH akan berada dalam pentadbiran baharu.

“Ia tidak akan memberi sebarang kesan negatif kepada Umno,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Oh bahawa kenyataan bersama itu memberi gambaran positif kepada Ismail.

Namun Oh berkata, tidak masuk akal untuk mengatakan kenyataan itu memberi isyarat kepada kemunculan politik baharu apabila Ismail masih belum menangani isu yang ada termasuk hubungan Umno dengan Bersatu.

Azmi berkata, dia berharap pembangkang akan menerima tawaran Ismail untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 tanpa mengenakan sebarang syarat.

Saintis politik Wong Chin Huat berkata, tiada perdana menteri selepas Tun Abdul Razak yang secara rasminya duduk bersama pemimpin pembangkang membincangkan bagaimana untuk bekerjasama dalam pemerintahan negara.

“Ismail memulakan langkah pertama untuk mewujudkan pendekatan Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya ke dalam politik,” katanya.

“Saya menjangkakan beliau dan pembangkang akan berunding mengenai CSA (perjanjian kepercayaan dan perbekalan). Jika mereka boleh mencapai sesuatu menjelang hujung minggu ini, kita harus memberikan satu tepukan gemuruh kepada beliau dan pemimpin pembangkang.”

Wong berkata, tugas paling penting pentadbiran baharu adalah memanjangkan tempoh jangka hayatnya sehingga pilihan raya umum boleh diadakan.

“Jika bekerjasama dengan PH tanpa memberi jawatan menteri boleh memberi perlindungan kepada Ismail atau Umno daripada ugutan Bersatu dan beberapa pihak lain, jadi Umno tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan dasar ‘no Anwar, no DAP’. Ini adalah strategi untuk kuasa, bukan prinsip ideologi,” katanya.

Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau percaya pembangkang memberi respons terhadap gesaan rakyat supaya pemimpin di negara ini memberi fokus terhadap isu Covid-19.

Katanya, isyarat daripada langkah yang baik itu akan memberi kelebihan buat PH sementara ia juga dapat mengukuhkan kedudukan perdana menteri baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.