
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Basri Sagoni berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 19 dan 35 tahun itu ditahan berdasarkan laporan dibuat seorang pengawal pangkalan TUDM berkenaan.
“Selepas menyedari (kedua-dua) mereka dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan keluarga Angkatan Tentera pada kira-kira 12.22 tengah hari itu, pengadu cuba mengejar suspek tetapi gagal.
“Pemeriksaan lanjut di luar tembok lokasi kejadian menjumpai dua motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Future yang disyaki digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui dua bekas berisi tembaga dan kabel elektrik disyaki diambil dari dalam kawasan pangkalan udara berkenaan, dan merampas dua telefon bimbit serta peralatan digunakan suspek semasa melakukan jenayah.
Basri berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hari ini.
Beliau berkata, saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dikehendaki hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan sebarang pelanggaran yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan.
Sementara itu, seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan pecah kedai di Jalan Kuchai Maju 1, Kuchai Lama, di sini, semalam.
Basri berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan setelah polis membuat serbuan di Jalan 6/116B off Jalan Kuchai Lama kira-kira 3.32 petang berdasarkan laporan seorang lelaki, iaitu pemilik restoran yang mendakwa premisnya dipecah masuk pada hari sama.
Beliau berkata, modus operandi kes ini dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian dengan suspek dilihat memecahkan pagar bahagian hadapan kedai dan mengambil peti wang tunai di kaunter sebelum beredar.
Basri berkata, suspek direman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah kedai.