
Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata, hubungan kerja parti itu dengan PH bermula sejak mereka membentuk kerajaan persekutuan pada 2018.
Ahli Parlimen Penampang itu menambah bahawa Warisan bukan sebahagian daripada PH tetapi menyokong Anwar, termasuk juga pada minggu lalu apabila menamakan beliau calon Perdana Menteri pilihan Warisan.
Leiking memberitahu FMT bahawa beliau ingin menjelaskan salah faham yang Warisan tidak memberikan sokongan kepada Anwar untuk menduduki kerusi panas itu.
“Ramai yang keliru dan kami masih menerima aduan rakan dan kenalan, terutama dari Semenanjung yang mengatakan ‘kalaulah Warisan menyokong Anwar, pasti beliau sudah menjadi PM.’
“Mereka menganggap undian 105 suara Ahli Parlimen (untuk Anwar) adalah PH semata-mata, namun hakikatnya mereka hanya mendapat 88 tetapi bekerjasama dengan parti pembangkang lain termasuk Warisan, untuk menjadikan 105 undi. Malah Dr Mahathir Mohamad sendiri menyokong beliau,” kata beliau.
Leiking menambah bahawa pelawaan Anwar itu “baik” tetapi perbincangan untuk bekerjasama harus membuka jalan ke hadapan untuk pembangkang.
“Perbincangan mestilah ikhlas dan mereka mesti bersedia untuk mengorak jalan baharu atau ‘menetapkan semula’ dalam cara kita meraih sokongan untuk menghadapi PRU15.
“Ini bukan lagi permainan angka, kerana kami telah mengujinya. Sekarang adalah masa untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata beliau akan berjumpa pemimpin parti pembangkang lain untuk mempelawa mereka bergabung atau bekerjasama dengan PH.
Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata ia selaras dengan ketetapan pemukiman kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menyatakan keterbukaan PH berunding untuk menggembleng tenaga semua pihak di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang yang merangkumi 105 Ahli Parlimen.
Parti Sarawak Bersatu (PSB), berkata sokongannya untuk PH adalah atas prinsip bahawa mandat pengundi yang memilih gabungan itu pada PRU lalu harus di hormati.
Presidennya, Wong Soon Koh berkata, meskipun begitu, PSB tidak berminat menubuhkan sebarang pakatan dengan PH dan berhasrat untuk kekal sebagai parti berbilang bangsa yang memperjuangkan hak serta kesejahteraan semua rakyat Sarawak.
Beliau menambah, PSB tidak akan mengorbankan prinsipnya untuk kepentingan politik, atau menerima “alasan dangkal seperti menyokong pihak yang kalah demi kestabilan politik”.