Sultanah Nur Zahirah akan beri keterangan dalam saman fitnah, kata peguam

Sultanah Nur Zahirah akan beri keterangan dalam saman fitnah, kata peguam

Peguamnya Mohd Haaziq Pillai Abdullah berkata perbicaraan ditetapkan selama empat hari bermula 11 Oktober.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa petikan dalam penerbitan Sarawak Report boleh memberi erti bahawa dirinya terbabit dalam amalan rasuah.
PETALING JAYA:
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah akan memberi keterangan di mahkamah untuk membuktikan saman fitnah baginda terhadap pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain, kata peguamnya.

Mohd Haaziq Pillai Abdullah berkata, perbicaraan ditetapkan selama empat hari bermula 11 Oktober.

“Kami akan memaklumkan kepada hakim perbicaraan mengenai saman ini ketika pengurusan kes esok,” katanya kepada FMT.

Haaziq berkata, pengawal keluarga diraja Terengganu juga telah dimaklumkan mengenai kes itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

“Kami akan menjalani perbicaraan dan memutuskan untuk tidak ke Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan itu. Ia akan menyebabkan kes tertangguh lebih lama,” katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2019 yang mengecualikan Sultanah Nur Zahirah daripada memberikan keterangan dalam kes saman itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, plaintif tidak seharusnya meneruskan permohonan melalui Aturan 14A Perintah Mahkamah Tinggi kerana defendan membangkitkan “bane and antidote” (racun dan penawar) sebagai ramuan pembelaan.

“Penerbitan (Sarawak Report) harus dibaca secara keseluruhan dan ‘racun dan penawar’ juga harus diambil kira. Ia tidak boleh melangkaui terus ke Perintah 14A seperti diputuskan hakim,” kata Zabidin.

Hakim perbicaraan ketika itu, Ahmad Zaidi Ibrahim yang kini hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan dalam saman berkenaan bahawa defendan telah memfitnah sultanah.

Hakim itu berkata, “dalam pemikiran orang yang munasabah” dalam buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose” mempunyai kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Defendan bergantung kepada pembelaan justifikasi, komen adil dan perlindungan bersyarat.

Sultanah Nur Zahirah dalam permohonan samannya mahu penghakiman diputuskan mengikut Aturan 14A.

Sultanah menuduh Rewcastle Brown membuat kenyataan yang merendahkan dirinya dalam buku terbabit dan mendakwa ia boleh membawa erti bahawa beliau terbabit dalam amalan rasuah.

Katanya, fitnah itu antara lain bermaksud beliau mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranan untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian ditukar kepada 1MDB.

Beliau memohon ganti rugi RM100 juta daripada setiap defendan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.