
Penduduk, yang berpindah ke sana lima tahun lalu, diberitahu kuari itu tidak aktif dan akan memberi laluan kepada projek banglo tidak lama lagi.
Tetapi, sejak Februari lalu, kerja penggalian dan letupan dari kuari itu menyebabkan atap rumah, dinding dan lantai retak.
Kini, mereka mahu pihak berkuasa menghentikan kerja letupan.
Selain kerosakan struktur, penduduk memberitahu FMT, terdapat juga pencemaran bunyi dan habuk. Lori yang membawa bahan dari dan ke kuari itu turut mengalami kecelakaan – terbalik di bukit dan merempuh lampu isyarat.
Seorang penduduk, Askin Meera, 55, berkata gegaran dari kuari itu semakin kerap dan kuat sejak Februari lalu, selepas lima tahun yang agak sunyi.
Katanya, Persatuan Penduduk Setia Pulau Mutiara, Setia Pulau Mutiara 3 dan Stramax Residence sudah menulis surat kepada ketua menteri meminta bantuan bulan lalu, selepas perbincangan selama dua tahun dengan wakil tempatan, seorang pegawai Pulau Pinang dan pengendali kuari itu gagal.
Askin berkata, di bawah garis panduan Jabatan Alam Sekitar sedia ada, penampan dengan jarak minimum 500m diperlukan antara kuari dan kawasan perumahan. Kediaman mereka kurang 150m dari kuari itu.
Katanya, tiga tanah runtuh berlaku di lokasi bukit sama, kira-kira empat minggu lalu berhampiran Persiaran Nuri.
“Rumah saya kurang 100m dari pagar kuari itu. Minggu lalu, batu yang berterbangan dari kuari itu terkena bumbung rumah jiran.
“Kami tidak tahu terdapat kuari di sana ketika membeli tempat ini kerana ia tidak aktif. Kami melihat papan tanda menunjukkan tapak itu akan dibangunkan untuk banglo,” katanya kepada FMT.
Dalam satu perjumpaan, seorang Exco Pulau Pinang memberitahu penduduk, kuari itu wujud sejak 1990-an dan mereka diminta untuk menerimanya.
Dalam mesyuarat sama, penduduk yang membantah memberitahu Exco itu, bawah peraturan kuari Pulau Pinang 2018, negeri itu mempunyai kuasa membatalkan lesen yang diberikan kepada pengendali. FMT tidak mendedahkan nama Exco itu sementara menunggu komennya.
Antara dokumen yang dikongsi penduduk adalah surat dari pengendali kuari menunjukkan mereka memohon kepada JMG untuk kerja letupan di tapak berkenaan. Pegawai Pulau Pinang kemudian berkata, kerajaan akan mengkaji untuk “mengehadkan kekuatan letupan”.
FMT sudah menghubungi pegawai kerajaan Pulau Pinang, JMG dan wakil tempatan untuk mengulas.