Tukang kasut kembali ke jalanan mencari rezeki

Tukang kasut kembali ke jalanan mencari rezeki

Ali Muri melakukan apa yang termampu untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun gusar simpanannya makin susut.

11 aktiviti ekonomi dibuka semula di negeri Fasa 1 tetapi tidak pasti sama ada ia termasuk perkhidmatan tukang kasut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang tukang kasut, Ali Muri Kandar, 51, kembali ke jalanan untuk berniaga selepas mengusahakan kedai membaiki pakaian sebelum ini.

Pelaksanaan sekatan penuh akibat Covid-19 selama tiga bulan memberi tekanan hebat buatnya dan selepas menutup kedai pakaian itu, dia memilih untuk tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan.

Pada masa sama, dia masih menunggu kebenaran untuk menjalankan perniagaan membaiki kasut itu.

Sepanjang sekatan penuh dilaksanakan, dia hanya berehat di rumah namun tetap menerima panggilan daripada pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat baiki kasut dengan segera.

Ali memberitahu FMT, sekiranya banyak panggilan diterima, dia boleh mendapat sekitar RM300.

Bapa kepada lima anak itu terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada untuk membayar sewa rumah dan meneruskan kelangsungan hidup.

Isterinya juga hilang pendapatan sejak pelaksanaan sekatan penuh itu.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila anak perempuan sulung yang masih mempunyai pendapatan, membantu menanggung perbelanjaan keluarga dan bantuan kerajaan juga memberikan sedikit kelegaan.

“Tetapi, apa yang boleh dikatakan ialah saya kehilangan sumber untuk bergantung,” katanya mengenai simpanan yang semakin susut.

“Saya berharap kita dibenarkan beroperasi semula tidak lama lagi. Jika boleh keluar bekerja, ia cukup untuk menyara kehidupan walaupun berniaga di jalanan. Ia begitu sukar jika langsung tidak boleh bekerja,” katanya.

Sejak Isnin lalu, Putrajaya membenarkan 11 aktiviti ekonomi dibuka semula di negeri Fasa 1 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kedai pakaian, fesyen dan aksesori tersenarai dalam aktiviti ekonomi itu namun terdapat kekeliruan sama ada tukang kasut boleh beroperasi atau sebaliknya.

Seorang lagi tukang kasut yang hanya ingin dikenali sebagai Maulana, berkata dia melakukan pelbagai kerja lain sejak tiga bulan lalu termasuk menjadi penghantar makanan, bekerja di syarikat penghantaran malah turut membantu menjual makanan.

“Saya lakukan apa saja yang boleh. Ia tidak mencukupi tetapi saya terpaksa berbuat demikian. Saya bernasib baik kerana isteri bekerja di klinik. Jadi, ia dapat membantu menyara keluarga.

“Jika hanya saya seorang, keadaan akan menjadi lebih teruk,” kata bapa yang mempunyai anak berusia setahun itu.

Lelaki berusia 29 tahun itu mengusahakan kedainya sendiri di Petaling Jaya tetapi mungkin terpaksa menutupnya jika keadaan ini berterusan.

Dia membuka semula kedainya pertengahan minggu ini selepas dimaklumkan boleh beroperasi sementara menunggu surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei, kami masih lagi boleh beroperasi walaupun pelanggan agak kurang. Sekarang, perniagaan tetap perlahan, jika keadaannya tidak buruk,” katanya.

Dia memberitahu FMT dia bekerja sebagai tukang kasut selepas tamat sekolah menengah dan baru saja membuka kedai tahun lalu.

Kini, dia tidak pasti berapa lama lagi boleh bertahan untuk meneruskan perniagaan itu.

“Saya mempunyai segelintir pelanggan tetap dan bergantung dengan mereka. Jika PKP dilaksanakan lagi, saya mungkin menutup kedai. Selepas itu, saya mungkin akan bekerja sebagai pemandu lori. Pekerjaan itu nampaknya tidak begitu terjejas ketika sekatan penuh,” katanya.

“Kami faham kes terlalu tinggi, tetapi ekonomi juga penting. Saya mungkin tidak mati akibat Covid-19 tetapi mungkin mati akibat kelaparan,” katanya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila menerima bantuan kewangan sebanyak RM5,000 menerusi Geran Khas Prihatin untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedikit sebanyak boleh mengurangkan bebannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.