Kes menurun, HTAR pulangkan 80 unit pemekat oksigen kepada PKRC MAEPS

Kes menurun, HTAR pulangkan 80 unit pemekat oksigen kepada PKRC MAEPS

Jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di HTAR berkurangan lebih 50% sejak seminggu lepas.

Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia akan menyusun semula keperluan peralatan berkenaan bagi digunakan di negeri lain yang mengalami peningkatan mendadak kemasukan pesakit. (Gambar Facebook HTAR)
SHAH ALAM:
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang memutuskan untuk memulangkan semula 80 unit mesin ‘Oxygen Concentrator’ atau pemekat oksigen yang dipinjamkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0.

HTAR menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, pemulangan peralatan itu dilakukan berikutan jumlah pesakit Covid-19 di hospital tersebut yang semakin menurun.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya Dr Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman sebanyak 80 unit mesin ‘Oxygen Concentrator’ kepada HTAR sepanjang tempoh ‘disaster’,” menurut hantaran tersebut.

Menerusi hantaran itu, HTAR memaklumkan Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan menyusun semula keperluan peralatan berkenaan bagi digunakan di negeri lain, yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

Pada Rabu lepas, Bernama melaporkan jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di HTAR berkurangan lebih 50% sejak seminggu lepas.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit Covid-19 untuk mendapatkan rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.