
Timbalan Ketua Polis Klang Selatan Kamalariffin Aman Shah berkata, kedua-dua mayat itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 7.30 pagi.
Beliau berkata, budak perempuan itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Pulau Ketam di lokasi kejadian, sebelum wanita itu ditemukan terapung di kawasan berdekatan jeti.
“Setelah wanita berusia 41 tahun itu dibawa naik, pihak klinik kesihatan mengesahkan mangsa (juga) telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Hasil pemeriksaan di kawasan berdekatan jeti menemukan sebuah beg berisi dokumen kedua-dua mangsa, tambahnya.
Kamalariffin berkata, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan di badan kedua-dua mangsa.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dan pihak polis membuka satu kertas siasatan mati mengejut (SDR) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hadir ke balai berdekatan atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.