Khairul Aming, Angeline Tan terima Anugerah Maulidur Rasul

Khairul Aming, Angeline Tan terima Anugerah Maulidur Rasul

Pempengaruh itu menerima anugerah bagi Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025 manakala pelakon Angeline Tan bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).

penerima anugerah maulidur rasul
Khairul Aming dan Angeline Tan bergambar bersama penerima anugerah semua kategori sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H di Maeps, Serdang hari ini. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, tidak menyangka dirinya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025.

Beliau berkata pengiktirafan itu amat mengejutkan, kerana tidak pernah menjangkakan tersenarai bersama-sama tokoh hebat lain pada sambutan kali ini.

Khairul Aming mendedikasikan anugerah tersebut kepada para usahawan kecil yang berusaha mencari rezeki halal biarpun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua usahawan di luar sana, terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil yang baru belajar berniaga, berniaga di tengah-tengah panas, di tengah-tengah hujan. Itu semua sebahagian daripada usaha mereka mencari rezeki yang halal. Jadi anugerah ni saya tujukan pada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau menegaskan kejayaan dalam perniagaan bukan sahaja diukur daripada keuntungan, tetapi juga melalui keberkatan dan hubungan baik dengan pelanggan.

Khairul Aming turut menekankan komitmennya untuk menggunakan platform media sosial sebagai medium memperkenalkan produk usahawan kecil.

Sementara itu, pelakon terkenal Ardini Angeline Tan atau Angeline Tan yang menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) 2025, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai simbol kekuatan dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.

Beliau berkata anugerah itu menjadi semangat baharu untuknya terus menyampaikan mesej Islam yang sebenar, selain menzahirkan penghargaan kepada keluarga dan insan yang banyak mendoakannya.

“Angeline rasa syukur alhamdulillah, sangat terharu dan macam tak percaya, Angeline yang sangat kecil ini diberi satu anugerah yang sangat besar dan bermakna pada hari yang sangat mulia ini.

“Sejak Angeline memeluk Islam, Angeline pernah kata saya bertekad saya nak sebarkan ataupun menyampaikan erti Islam yang betul kepada bukan-muslim,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis memperingati kelahiran Rasulullah yang bertemakan Membangun Ummah Madani itu.

Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Terdahulu, Mohd Na’im melepaskan dan mengetuai perarakan kontinjen sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini.

Seramai 6,104 peserta dengan 119 kontinjen menyertai perarakan sambutan sejauh 1.1 kilometer bermula dari kawasan parkir utama menuju ke Dewan A Maeps.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.