
Presiden Wee Ka Siong berkata dana tersebut boleh digunakan bagi mempercepatkan pembedahan elektif bagi pesakit yang menunggu di hospital kerajaan, atau memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang yang tidak dapat menyertai kolej matrikulasi atau universiti awam.
“Daripada belanja duit untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan, bukankah lebih baik digunakan untuk bantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan naik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara?” katanya di Facebook.
Terdahulu, Anwar mengumumkan bantuan RM100 Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sekali beri kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas bagi meringankan beban sara hidup, sempena hari kebangsaan.
Beliau memaklumkan bantuan yang tidak dibelanjakan pada akhir tahun ini akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan pada tahun berikutnya.
Mengulas lanjut, Wee mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme untuk rakyat yang memulangkan bantuan itu secara sukarela.
Wee menambah beliau percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri serta semua menteri, Ahli Parlimen dan Adun akan sanggup melepaskan bantuan Sara itu.
“Saya orang pertama akan salurkan,” katanya.