4 lelaki mengaku tak salah hina YDP Melaka

4 lelaki mengaku tak salah hina YDP Melaka

Mereka didakwa membuat hantaran semula gambar dan teks di Twitter antara 28 dan 29 Julai lalu.

Empat lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen di Melaka kerana dakwaan menghina Yang Dipertua negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.
PETALING JAYA:
Empat lelaki mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini, atas tuduhan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian komunikasi untuk membuat hantaran semula gambar dan teks yang didakwa menghina Yang di-Pertua negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Mohd Hermy Rahim, 34; Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28; Mohd Hafizudin Rahmad, 36, dan Ahmad Zaki Yamani Zainon, 49, didakwa melakukan kesalahan terbabit menerusi Twitter antara 28 dan 29 Julai lalu.

Hantaran itu kemudiannya dibaca warganet pada hari berikutnya.

Mengikut pendakwaan, perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati, mencaci, mengancam atau mengganggu orang lain.

Dalam hantaran Twitter itu, mereka berkongsi gambar Ali mengunjungi sebuah tempat yang digambarkan sebagai gimnasium kampung di Kesang Tua, iaitu tempat latihan atlet Filipina, Hidilyn Diaz yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mahkamah Sesyen Maziah Joary Mohd Tajudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan kes.

Beliau turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.

Peguam Purshotaman Puvanendran dan Cassian Anthony mewakili Hermy, Ali dan Hafizudin, manakala Saiful Ambar mewakili Zaki.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangary.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.