
Seorang Ahli Parlimen yang enggan dinamakan berkata, beliau menerima panggilan daripada pelbagai parti yang mahukan sokongannya untuk calon perdana menteri mereka.
“Setakat ini, saya mendapat panggilan meminta saya menyokong Ismail Sabri Yaakob (Umno), Shafie Apdal (Warisan) dan Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan).
“Saya difahamkan Bersatu ada seorang calon juga. Saya dengar mereka akan mengadakan mesyuarat petang ini dan menentukan calon mereka.”
Seorang wakil rakyat daripada Umno berkata, panggilan yang diterimanya ialah untuk menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.
Beliau mengakui ia adalah sesuatu yang dikehendakinya, iaitu sebuah pentadbiran “yang diterima semua pihak”.
“Terdapat rundingan berterusan antara semua parti, termasuk Umno.”
Ahli Parlimen itu berkata, mereka juga berbincang siapa yang patut menganggotai Kabinet dan “siapa yang patut digandingkan sebagai timbalan menteri”.
Seorang lagi Ahli Parlimen yang enggan dinamakan berkata, ia adalah perkara biasa untuk menerima panggilan sedemikian pada masa seperti ini.
Beliau berkata, sebahagian besarnya sudah tentu menerima panggilan sedemikian.
“Biasanya, kami akan dengar dan mengucapkan terima kasih serta beritahu kami akan buat keputusan kemudian,” katanya yang menerima beberapa panggilan.
Larry Sng, Ahli Parlimen Julau di Sarawak berkata, jumlah panggilan diterimanya dalam tempoh 24 jam lalu “bertambah”, termasuk daripada nombor yang tidak dikenalinya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas panggilan yang diterimanya kerana tidak mahu melanggar kerahsiaan perbualan itu.
Ditanya sama ada perbualan itu mengenai sokongan kepada perdana menteri baharu, Sng berkata, “saya tidak mahu mengesah atau menafikannya”.
Muhyiddin hari ini melepaskan jawatan perdana menteri, kira-kira 17 bulan selepas beliau dilantik pada Mac 2020.
Beliau bagaimanapun akan menjadi perdana menteri “caretaker” sehingga penggantinya dilantik.