PM gesa kerajaan negeri patuh keputusan isu rumah ibadat

PM gesa kerajaan negeri patuh keputusan isu rumah ibadat

Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan berhubung isu rumah ibadat bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya kerajaan mengambil masa lebih dua tahun meneliti dan mendengar pandangan semua pihak. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri mematuhi ketetapan kerajaan persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata walaupun prinsip tolak ansur mempunyai nilai dan kebaikan tersendiri, ia tidak boleh diteruskan tanpa batas sehingga menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kekuatan institusi negara.

“Negara ini tidak akan matang dan selamat sekiranya kita terus mengamalkan tolak ansur yang tidak berkesudahan kerana tolak ansur ada kekuatannya, tetapi bukan sehingga merobek seni dan kekuatan negara itu sendiri.

“Sebab itu, dalam soal rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya menetapkan garis panduan di bawah kerajaan persekutuan dan saya juga menghubungi semua kerajaan negeri, termasuk negeri pembangkang, supaya kita ketepikan perbezaan politik kerana pimpinan Kerajaan MADANI telah membuat keputusan dasar yang jelas, maka marilah kita bersama melaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA 2026) di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (UNISEL) semalam.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Datuk Bandar Shah Alam Mohd Fauzi Mohd Yatim; Pengerusi DASA merangkap Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Zainal Mohd Jais; tiga Sasterawan Negara iaitu Muhammad Salleh, Anwar Ridhwan dan Zurinah Hassan serta Tokoh Sejarawan Abdullah Zakaria.

Menjelas lanjut, Anwar berkata keputusan berhubung isu rumah ibadat bukan dibuat secara tergesa-gesa atau bersandarkan kepentingan sempit mana-mana pihak, sebaliknya kerajaan mengambil masa lebih dua tahun untuk meneliti dan mendengar pandangan semua pihak sebelum memuktamadkan perkara itu.

Katanya, tempoh itu perlu bagi memastikan setiap keputusan adil, berlandaskan Perlembagaan dan tidak mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama di negara ini.

“Dalam soal rumah ibadat, kita tetapkan sampai ke (satu) masa (tahap), kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada hukum dan undang-undang, mengapa diberikan pengecualian?

“Saya mengambil masa lebih dua tahun untuk memuktamadkan keputusan ini. Alhamdulillah, akhirnya ada ketetapan bahawa semua kaum dan agama mesti tunduk dan menerima kenyataan bahawa Malaysia ialah negara hukum,” katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan, perdana menteri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan.

Beliau turut memuji Amirudin kerana berjaya menyelesaikan isu penternakan babi yang telah lama berlarutan di negeri itu.

Katanya, isu tersebut dirumus dan ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri Selangor walaupun berdepan helah politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.