Agong perkenan peletakan jawatan PM, Muhyiddin jadi ‘caretaker’, kata Istana Negara

Agong perkenan peletakan jawatan PM, Muhyiddin jadi ‘caretaker’, kata Istana Negara

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan supaya Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai perdana menteri 'caretaker' sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Agong menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin Yassin dan barisan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac tahun lalu, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sesi menghadap di Istana Negara hari ini.

Menurut kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri “caretaker” sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti.

Katanya, pada hemat Agong, pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sehingga 10 0gos lalu, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, 484 kawasan (79%) adalah zon merah Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pada masa sama Agong turut mengambil maklum fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi membimbangkan.

Fadil berkata, Agong turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang dilaksanakan bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac tahun lalu, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.