
Beliau berkata tindakan perdana menteri itu yang ternyata sudah hilang keabsahan, namun masih berdegil untuk melepaskan jawatannya akan menyebabkan risiko perundangan yang besar.
Katanya, Muhyiddin jelas menggunakan Perlembagaan untuk kelangsungan hayat politiknya dan bukan untuk memelihara kewibawaan institusi Perdana Menteri.
“Semua keputusan eksekutif tersebut boleh dicabar keabsahan dan perlembagaannya. Ini meletakkan kerajaan dalam kedudukan terdedah kepada pelbagai pertikaian undang-undang dan risiko kerugian kewangan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa perdana menteri tidak akan meletakkan jawatan ketika ini kerana tiada seorang pun Ahli Parlimen dapat membuktikan mempunyai majoriti cukup untuk menjadi perdana menteri baharu.
Sehubungan itu, Mohamad berkata bagi mengelakkan negara terus berada dalam kancah kecelaruan Perlembagaan, pihak eksekutif wajar tampil dan melakukan tindakan yang benar dan berperlembagaan.
“Mereka harus memudahkan Yang di Pertuan Agong melaksanakan tugas Perlembagaan baginda dan bukan bertindak sebaliknya.
“Tiada yang lebih penting kepada seorang perdana menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” tegasnya.
Beliau berkata, khabar mengenai Istana Negara telah menulis untuk mendapatkan pengesahan Speaker Dewan Rakyat berkenaan jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap perdana menteri jelas membuktikan bahawa Istana Negara sangat meragui dakwaan Muhyiddin bahawa beliau masih mempunyai majoriti.
“Tindakan ini adalah ‘unprecedented’ dan meletakkan kewibawaan perdana menteri pada tahap yang tidak boleh diyakini dalam tindakan dan kenyataannya.
“Malah dakwaan masih mempunyai majoriti oleh perdana menteri adalah tindakan yang tidak berperlembagaan. Apatah lagi beliau sengaja menunda pengesahannya di Parlimen tanpa alasan yang wajar,” katanya.
Mohamad menegaskan, tiada yang lebih penting kepada seorang perdana menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Perdana menteri waktu ini nampaknya bersendirian mempertahankan kedudukan yang tidak boleh dipertahankan lagi. Beliau seharusnya tahu bahawa Perlembagaan ‘is non-negotiable’,” katanya.
Parti pembangkang termasuk Umno menolak dengan keras tawaran kerjasama rentas parti yang dibuat secara terbuka oleh Muhyiddin menerusi sidang media yang dipancarkan di seluruh negara semalam.
Dalam sidang media itu, Muhyiddin menawarkan tujuh tawaran kepada pembangkang termasuk mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.
Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperolehi sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.