Dah boleh terima DAP, Anwar sekarang?, Isham tanya Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin, PAS

Dah boleh terima DAP, Anwar sekarang?, Isham tanya Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin, PAS

Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa dan Nazri Aziz sebelum ini berulang kali mengingatkan Umno mengenai pendirian 'No Anwar, No DAP', kata Isham Jalil.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, Umno memutuskan semasa PAU untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) mahukan Ahli Parlimen Umno dan PAS yang terus menyokong Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian terhadap “kesanggupan” perdana menteri menganjurkan kerjasama dengan pembangkang termasuk DAP dan Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil turut mengajukan soalan sama kepada sekutu kuat Muhyiddin, PAS yang telah lama menentang DAP dan presiden PKR itu.

Isham berkata, Umno pada perhimpunan agung tahunan (PAU) lalu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Dan semua orang tahu apa perasaan PAS tentang PKR dan DAP,” katanya kepada FMT.

Isham Jalil.

Katanya lagi, Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa dan Nazri Aziz berulang kali mengingatkan Umno mengenai pendirian ‘No Anwar, No DAP’ itu.

“Adakah Ahli Parlimen Umno, termasuk Annuar dan Shahidan yang sokong Muhyiddin, setuju dengan jajaran baharu ‘rentas parti’ beliau untuk menjalin kerjasama dengan Anwar dan DAP?

Dan PAS pula bagaimana? Adakah setuju juga?” soalnya.

Semalam, Muhyiddin mencadangkan kerjasama rentas kepartian dengan menawarkan pelbagai ‘ganjaran’ kepada pembangkang dan Umno untuk membolehkannya memperolehi undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat

Untuk memperolehi sokongan itu, Muhyiddin, antara lain, berjanji mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai tahun depan, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal sahaja dan peruntukan setara bagi semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Tawaran itu ditolak Umno dan blok pembangkang yang menyifatkan ia sekadar cubaan Muhyiddin membeli sokongan untuk mengekalkan kuasa.

Isham berkata, Shahidan dan Ahli Parlimen Umno pro-Muhyiddin yang lain kini patut memaklumkan penyokong akar umbi tentang pendirian mereka mengenai tawaran Muhyiddin itu.

“Saya yakin akar umbi mereka ingin tahu mengenai jajaran baharu ini (kerjasama dengan pembangkang) yang nampaknya didesak oleh perdana menteri,” katanya.

“Umno, kami konsisten. Kami kata semasa PAU, kami tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP. Ini tidak berubah.

“Bolehkah Shahidan, Annuar, Nazri dan PAS cakap benda yang sama mengenai diri mereka?” tanya beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.