
Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar berkata suspek ditahan bersama sebuah kotak berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 2.3kg kira-kira 11.45 pagi.
Menurutnya, kira-kira dua jam selepas tangkapan itu, pihaknya menahan dua lelaki di sebuah kondominium di Kajang sebelum menyerbu sebuah pangsapuri di Wangsa Maju dan menjumpai dadah jenis methamphetamine seberat 6.90g, ketamin (7.88g), heroin (2.36g) dan erimin 5 (4.42g) dianggarkan bernilai RM85,000.
“Kesemua suspek yang tidak bekerja itu berumur lingkungan 26 hingga 59 tahun dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes narkotik dan jenayah.
“Dua daripada suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing dan kesemua mereka ditahan reman antara dua hingga tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam berkata orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dalam urusan penghantaran kiriman dan tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah terutamanya dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara.