
Beliau berkata, Setiausaha Dewan Rakyat sudah pun menyerahkan notis pemberitahuan kepada semua Ahli Parlimen mengenai perkara berkenaan.
“Notis sudah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat iaitu 7 Sept untuk diadakan undi percaya. Buat masa ini itu adalah tarikh yang ada di pihak kami,” katanya pada sidang media secara maya selepas sesi turun padang bersama pegawai Cybersecurity Malaysia.
Saifudin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, mengenai pelaksanaan undi percaya berkenaan, Jemaah Menteri masih berbincang mengenai kaedah yang akan digunakan sama ada ia akan dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau menteri lain yang akan diarahkan oleh Kabinet.
“Di peringkat sekarang, kami masih berbincang bagaimana untuk melaksanakannya. Walaupun kita ada ‘precedent in the past’ tetapi ia bukanlah pada ‘suhu’ yang sama sekarang,” katanya sambil menegaskan dalam politik, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Beliau menjawab mengenai laporan media tempatan yang mengatakan terdapat usaha untuk mempercepatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibentangkan pada 18 Ogos ini.
Sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 Sept hingga 30 Sept.
Mesyuarat Kedua pula mulai 25 Okt hingga 16 Dis bersamaan 32 hari.
Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 Sep di Bangunan Parlimen.
Mengulas mengenai beberapa individu ditahan polis selepas didakwa memecah keamanan dan menyalahgunakan undang-undang dengan membuat kenyataan menghina Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Saifuddin berkata, sebagai ahli politik, pemimpin PAS itu seharusnya menerima hakikat tidak semua rakyat akan menyukai beliau.
“Kita terjun dalam dunia politik, kita harus terima hakikat kita mungkin ada musuh dan sebahagian besar rakyat akan tak suka pada kita, malah ada kala bahasa (yang digunakan) memang teruk.
“Sebagai ahli politik, kita perlu benarkan rakyat mengkritik kita,” katanya sambil menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi wajar diambil jika ia membabitkan isu perkauman, keagamaan atau menghina institusi Raja-raja.
Semalam, Ketua Umno Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff mendakwa dia dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Sungai Petani hanya kerana mendedahkan status jumlah kematian Covid-19 di Kuala Muda.
“Saya tak komen jelek, hina …(atau) maki MB Kedah pun… tetapi (petang ini) saya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis,” kata beliau di Facebook.
Sebelum itu, empat orang ditahan polis kerana didakwa memecah keamanan dan menyalahgunakan undang-undang internet dengan membuat kenyataan dianggap menghina Sanusi di Facebook.
Ini berkaitan kenyataan dibuat Sanusi di Sungai Petani pada hujung minggu lalu berhubung penggunaan kontena untuk jenazah Covid-19. Bercakap kepada FMT, beliau berkata, kebebasan bersuara tidak membolehkan seseorang bertindak sesuka hati.